Oleh ZULKIFLI SULONG
PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah badan induk yang menjadi tempat bernaung para petani dan pekebun kecil di negara ini. Namun, kini NAFAS telah digantung oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang ekoran kekecohan yang berlaku hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Arahan penggantungan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Katanya, dalam tempoh penggantungan itu, jemaah pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam perlembagaan pertubuhan itu.
“Penggantungan itu berkuat kuasa 1 November 2024 sehingga penarikan balik yang akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sidang media reformasi tatakelola NAFAS, di Menara LPP baru-baru ini.
Semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang akan dilantik untuk mengurus hal ehwal pertubuhan itu.
Penggantungan ini ekoran kekecohan dan penyiasatan SPRM terhadap NAFAS.
Pada 29 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Ekoran pengumumun SPRM itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan ke atas NAFAS ini.
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan kementeriannya tidak akan masuk campur dalam urusan siasatan SPRM itu.
“Kita tidak mahu lagi amalan menyakau terus berleluasa dalam mana-mana agensi atau badan di bawah pentadbiran kementerian.
“Kita mahu NAFAS pada masa akan datang menjadi sebuah pertubuhan yang benar-benar memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada lebih 600,000 ahlinya,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.
“Saya dah lama marah kepada kartel ini, kartel ini maknanya apa? kelompok kecil jaga dia (sesama mereka) bukan jaga rakyat.
“Siapa sahaja tanpa terkecuali, kalau ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, PDRM (akan) masuk, tak kira dia jabatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ka atau syarikat swasta.
“NAFAS betul bebas tetapi di bawah pengawasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya pada Karnival Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2024 (HPPK2024).
Bagi bekas Ahli Lembaga Pengarah NAFAS ketika Kerajaan PH 1.0 dahulu, Hishamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Sham Ghaz, pihak pembangkang memainkan naratif kononnya lima orang Ahli Jemaah Pengarah bersama beliau yang terlibat dalam skandal baja NAFAS RM1.8 bilion yang ditahan SPRM berberapa hari lepas.
Padahal, katanya, merekalah yang membuat laporan kepada SPRM dan kuburkan kartel baja di NAFAS sebelum ia hidup balik zaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara selepas itu.
“Kami yang lawan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa pula dituduh terlibat dengan skandal baja?” tulis beliau melalui Facebooknya.
Menurut Sham Ghaz, ketika beliau dan rakan-rakannya menjadi ahli lembaga pengarah dahulu, mereka telah menjemput PriceWater Cooperhouse untuk membuat audit forensik semua akaun NAFAS dari tahun 2016 hingga 2018.
“Di situ kami temui pelbagai kesalahan membabitkan ratusan juta ringgit. Ia membabitkan pembelian bangunan penjabat NAFAS berpuluh juta, pembelian baja dari Vietnam berpuluh juta, pembelian padang sawit di Miri Sarawak bernilai beratus juta, pembelian baja bio berjuta-juta, penyewaan bangunan NAFAS di Bukit Bintang, pembelian bangunan kilang NAFAS Feedmill di Muar dan lain-lain.
“Hendak tahu agenda perubahan yang kami buat dalam masa setahun di NAFAS adalah berjaya kumpul tunai lebih RM800 juta dalam tangan, daripada rugi berpuluh juta,” dakwa beliau lagi.
Apa yang berlaku sebenarnya?
Pada 3 November lepas, SPRM telah menahan reman dua bekas pengurus besar susulan siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta.
Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sani membenarkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 November selepas permohonan dibuat SPRM, pagi Ahad.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan sekitar pukul 8.30 malam 2 November ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.
“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Untuk rekod, sehingga hari ini seramai lima individu telah ditahan antaranya pengerusi syarikat warga asing dan seorang eksekutif pemasaran syarikat yang didakwa menjadi pemudah cara penggunaan nama sebuah syarikat yang tidak aktif (dorman) dari Singapura untuk menerima kontrak NAFAS.
Bagi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin yang kini bercakap apa sahaja menerusi rancangan Keluar Sekejap (KS) beliau, skandal NAFAS adalah lebih besar dari skandal FashionValet yang juga diperkatakan sekarang ini.
Ini kerana, ia melibatkan kepercayaan negara dan harapan petani dan peladang untuk memastikan makanan kita cukup. Ini sebenarnya kes harapkan pagar, pagar makan padi, bukan biasa-biasa.
INI adalah sekadar pandangan dan catatan daripada seorang wartawan berdasarkan pemerhatian beliau.