Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KINI sudah agak banyak restoran di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang yang menggunakan sistem kod bar untuk memesan makanan. Masuk ke restoran ambil telefon pintar dan imbas pada kod bar di atas meja.
Kemudian makanan yang dipesan pun dihantar, ada sesetengah tempat pula dihantar oleh robot. Bayaran dibuat secara dalam talian dan langsung tidak berurusan dengan manusia. Malah menjadikan kita sudah jarang memegang duit kertas atau syiling.
Dompet pula hanya untuk menyimpan bermacam-macam kad termasuk kad bank dan Touch ‘n Go untuk membayar tol. Kad itu penting untuk hidup pada zaman yang teknologi menjadi pencorak hidup kita.
Kalau dulu banyak yang menyediakan wang syiling untuk membayar tempat letak kereta. Tetapi sekarang semua aplikasi yang diletak dalam telefon pintar termasuk kod QR untuk membuat bayaran semasa sarapan atau makan tengah hari.
Secara peribadi saya agak rimas dengan sistem kod bar di restoran. Mulalah terkial-kial dan menjadi lebih tertekan apabila liputan Internet perlahan walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur. Bagaimanapun disebabkan tidak ada cara lain terpaksa menggunakan kod bar.
Kadang-kadang tertanya-tanya juga besar sangatkah belanja untuk menggaji pelayan mengambil pesanan? Rasanya tidaklah terlalu besar hingga merimaskan golongan yang ‘alah’ dalam gelembung teknologi yang pantas berkembang itu.
Memang benar sesetengah restoran menyediakan pelayan untuk membantu pengunjung yang tidak memesan dengan kod bar. Akan tetapi bayangan fenomena yang berlaku pada masa depan adalah ke arah sistem kod bar sepenuhnya.
Banyak kali juga saya melihat pengunjung seperti saya yang tidak biasa dengan sistem ini. Mereka teraba-raba dan tertinjau mencari pelayan untuk meminta bantuan. Nampaknya pada zaman ini ada duit pun bukan mudah untuk mendapat makan kalau tidak mesra dengan teknologi.
Saya adalah generasi boomers kedua yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964. Sebahagian dalam kalangan boomers itu celik teknologi, tetapi merasa remeh untuk melayan tuntutan teknologi yang dibangunkan untuk mengambil pesanan.
TUNTUTAN ZAMAN
BAGAIMANAPUN segala sistem atau teknologi itu tidak mendatangkan masalah kepada generasi milenial atau disebut generasi Z. Ini adalah zaman mereka dan boomers seperti saya dan lain-lain hanya menumpang sahaja.
Mereka hidup pada zaman teknologi digital. Celik mata terus nampak segala macam teknologi yang tidak ada ketika saya berada dalam generasi Z dulu.
Mereka lahir dan membesar pada zaman yang banyak bergantung pada teknologi. Maka tidak hairanlah golongan itu seolah-olah hilang punca apabila kabel dasar laut yang menyalurkan Internet mengalami kerosakan beberapa tahun lalu.
Berbeza dengan saya dan boomers lainnya, sekalipun kami juga pengguna teknologi, akan tetapi pernah menjalani hidup secara manual pada dekad 1960-an hingga awal 1980-an. Dekad-dekad yang tidak bergantung pada teknologi terutamanya Internet.
Biarpun kehidupan hari ini banyak dicorakkan oleh keperluan dan gaya hidup generasi milenial yang bergantung pada alat teknologi, dalam banyak keadaan saya boleh menyesuaikan diri sekalipun agak merimaskan. Misalnya terpaksa melayan pemilik restoran yang pantas dirasuk oleh teknologi.
Malah banyak juga restoran menyediakan robot penghantar makanan yang hanya tahu mengucapkan ‘thank you.’ Robot itu belum boleh berbahasa Melayu, seperti juga sesetengah dalam kalangan kita yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.
Terdapat sesetengah dalam kalangan boomers tidak suka dengan cara operasi restoran seperti itu. Saya memahami keadaannya, mereka bukan menolak teknologi malah lebih faham tentang keperluannya untuk perkara tertentu.
Berkomunikasi dengan mesin yang digerakkan oleh teknologi tidak sama dengan manusia. Memang boleh meminta itu dan ini, bertanya itu dan ini, tetapi dalam banyak keadaan jawapan yang diprogramkan tidak menjawab semua pertanyaan pelanggan.
Maka berlakulah ‘yang dipesan lain dan yang dapat pula lain.’ Itu bukan suatu yang luar biasa di restoran berteknologi tinggi itu. Akhirnya manusia juga yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Tetapi itulah cara hidup generasi milenial yang sebahagian besar tidak ada pengalaman hidup secara manual. Restoran pun terpaksa mengikut gaya hidup yang dilabelkan sebagai moden dan selari dengan tuntutan zaman. Sekalipun begitu tidak semua yang selari dengan zaman membawa kemudahan dan kesejahteraan yang sebenarnya.
Daripada penelitian dan pemerhatian, sebenarnya banyak restoran tidak ada keperluan yang mendesak terhadap sistem kod bar untuk mengambil pesanan makanan. Tetapi dalam kalangan pemilik restoran pun ada juga sifat berlumba dengan yang lain. Maka sistem yang digunakan itu pun lebih pada perhiasan berbanding keperluan.
EKOSISTEM
HAKIKATNYA teknologi bukan perhiasan atau menunjukkan yang sesuatu premis atau perkhidmatan itu sudah moden. Teknologi digunakan kerana keperluan untuk mengurangkan belanja menggunakan tenaga manusia. Dalam pada itu, pemilik restoran juga perlu menyumbang kepada masyarakat, misalnya mengurangkan kadar pengangguran.
Kalau hal itu diambil sebagai utama, maka dalam keperluan terhadap teknologi yang masih kurang mendesak itu, tentu lebih baik menggunakan manusia untuk mengambil pesanan. Pada masa depan mungkin keadaan itu berubah, tetapi ketika ini tenaga manusia masih diperlukan di restoran.
Sistem kod bar itu juga bergantung pada ekosistem seperti kelajuan dan liputan Internet yang luas. Hakikatnya sekalipun sudah ada teknologi 5G, masih banyak kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur setakat 4G, itu pun masih semput. Keadaan begitu tidak menyumbang pada kelancaran sistem yang menggunakan Internet.
Sekalipun agak rimas dengan sistem kod bar di restoran, tetapi bukan bermakna saya menolak kemajuan dan teknologi yang bertujuan membawa kebaikan pada kehidupan. Dalam masa yang saya gembira kerana masih berpeluang meneruskan ‘kehidupan boomers’ seperti sebelum dilanda teknologi.
Misalnya saya masih bebas membaca buku bercetak, membeli buku bercetak di kedai buku dan membaca surat khabar bercetak sekalipun mudah diakses di telefon pintar. Saya juga memilih mencatatkan nota dalam buku 555, dan bukan atas skrin iPad yang mudah dibawa ke mana-mana.
Selain itu terus menggunakan pen dakwat cair (fountain pen) yang sesekali dakwatnya terkena pada jari. Itu menunjukkan tidak cukup berhati-hati menggunakan perkakas menulis yang berseni itu. Memang nampak agak ketinggalan zaman dan remeh, tetapi itulah pilihan saya sebagai ‘boomers klasik’ yang berpada-pada bergantung pada teknologi.