ISU penyasaran subsidi diesel hangat diperkatakan sehingga ke saat ini. Biarpun dilakukan kerajaan demi menyelamatkan negara daripada penyelewengan dan aktiviti penyeludupan namun ia masih enggan difahami oleh rakyat.Sedangkan jika perbelanjaan subsidi semakin besar ia mampu membawa risiko kepada kewangan negara sekali gus banyak peruntukan yang membantu rakyat selama ini akan terkesan.
Paling merisaukan jika peruntukan yang lebih penting terpaksa dikurangkan oleh kerajaan antaranya keperluan pendidikan, kesihatan mahupun keselamatan.
Golongan yang tidak bertanggungjawab hanya tahu menghentam tanpa cuba memperhalusi tindakan yang dilakukan ini adalah demi masa hadapan mereka dan juga generasi akan datang.
Luahan tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilontarkan di laman sosial oleh netizen yang menganggap beliau mengambil jalan mudah menghukum rakyat dengan penyasaran ini.
Mereka berasa golongan B40 dan M40 terus-terusan ditekan biarpun terdapat bantuan subsidi RM200 namun masih tidak mencukupi kerana mereka perlu menanggung kos lebih.
Berikutan itu, ada segelintir yang mendakwa Anwar segera menghapuskan subsidi diesel kerana ‘terlanjur’ berjanji dengan penjawat awam untuk kenaikan gaji.
Malah, agak keterlaluan netizen menganggap PMX perlahan-lahan mengikut dasar Komunis di mana rakyat yang akan menanggung kerajaan.
Memetik ucapan Anwar baru-baru ini, beliau sedar langkah yang diambil itu akan dihentam habis-habisan namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain.
“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.
“Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus-menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada
tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bulan Jun 2024, baru-baru ini.
Terdahulu, pada Ahad kerajaan mengumumkan harga diesel diapungkan pada RM3.35 seliter berbanding harga asal RM2.15 seliter sebelum ini.
Bagaimanapun 80 peritus pengguna diberikan Bantuan Subsidi Diesel MADANI (BUDI MADANI) sebanyak RM200 sebulan. – WILAYAHKU