Artikel

Apa penghujung ceritanya?

SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan pembayaran untuk tender perkhidmatan 1BestariNet. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 4:32 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MALAYSIA bakal berdepan dengan satu lagi pendedahan skandal jika siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan penyelewengan yang berlaku dalam projek 1BestariNet.

Ini berikutan pendedahan yang dibuat media bahawa SPRM telah menggeledah sebuah pejabat kerajaan dan juga pembekal kepada projek itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL).

Kes ini menjadi semakin panas apabila ia melibatkan pemecatan seorang menteri selepas lima kali dipanggil menghadap oleh Perdana Menteri ketika itu.

Menurut bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi satu video klip yang kini tersebar semula, beliau dipanggil lima kali oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri (PM) pada tahun 2020 lalu.

Tujuan utamanya adalah mendesak beliau agar menyambung kembali projek 1BestariNet selepas ia tamat pada Jun 2019.

Namun Maszlee bertegas, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana terlalu banyak kelemahan dan kesalahan yang dilakukan oleh pembekalnya.

Menurut Maszlee, beliau menggantikan projek itu dengan menggunakan Google Classroom yang percuma.

“Waktu itu, Perdana Menteri tidak percaya.

“Lima kali saya meeting dengan dia, insist supaya saya sambungkan kontrak itu. Dia kata, setiap hari Muhyiddin hurung dia desak agar buang Maszlee kerana Maszlee degil tidak mahu sambung projek itu kepada YTL,” kata Maszlee dalam satu wawancara dengan beliau setahun lalu.

“Oleh kerana saya mahu selamatkan berbilion duit rakyat, servisnya teruk dan merugikan, saya kena bertegas dengan prinsip saya.

“Lima kali pertemuan dengan PM, dia minta saya sambung. Saya kata tidak boleh kerana kita sudah appoint (lantik) empat komiti berbeza termasuk dari dalam Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri, wakil universiti dan pihak swasta untuk buat penyelidikan.

“Usaha ini diterajui oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) pada waktu itu dan dibuat begitu teliti sekali.

“Semua komiti kata ia satu kegagalan kecuali satu komiti sahaja yang ditaja oleh YTL mengatakan itu terbaik. 1 lawan 4.

“Pihak Ketua Setiausaha (KSU) pada waktu itu cakap kepada saya, terserah kepada YB hendak membuat keputusan macam mana tetapi bercakap tentang profesional, its a big failure (kegagalan besar), perjanjian very lope sided (berat sebelah) rugikan duit rakyat.

“Jika kita sambung lagi, akan timbul isu integriti,” kata Maszlee menceritakan apa yang dikatakan KSU kementerian kepada beliau pada waktu itu.

Pada 2 Januari 2020, Dr Maszlee Malik mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa keesokan harinya.

Maszlee berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan hari itu.

“Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 (esok).

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, Internet sekolah dan sarapan percuma dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu,” katanya pada sidang media khas di ruang legar kementeriannya pada 2 Januari tersebut.

Kira-kira tiga tahun selepas peletakan jawatan itu, Maszlee menceritakan apakah sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Punca utamanya adalah tekanan dari Mahathir yang menerima desakan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau menyambung kembali projek 1BestariNet.

Pada 4 September 2024 lepas, SPRM menyerbu pejabat kerajaan dan YES 4G.

SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan pembayaran untuk tender perkhidmatan 1BestariNet.

SEJARAH

PADA 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL bagi pelaksanaan projek itu.

Pada 2012 1BestariNet memulakan fasa pertamanya, dengan matlamat menghubungkan sekolah ke Internet dan platform Frog VLE.

Pada awalnya, sekolah mula melaporkan masalah dengan kelajuan Internet dan sambungan. Banyak sekolah luar bandar tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan itu susulan infrastruktur dan liputannya yang lemah.

Pihak yang menjadi mangsa utama adalah para guru yang menggunakan perkhidmatan itu yang tidak boleh menyelesaikan tugasan mereka kerana masalah yang dihasilkan.

Pada tahun itu juga, Ketua Audit Negara menyuarakan kebimbangan terhadap projek itu, mengetengahkan ketidakcekapan dan kegagalan mencapai objektif ditetapkan.

Pada 2014 hingga 2015 pula, penelitian Parlimen mendapati projek ini mendapat perhatian serius Ahli Parlimen dan orang ramai mempersoalkan keberkesanannya dan kos yang tinggi.

Audit tambahan pula mendedahkan banyak sekolah masih belum disambungkan dan penggunaan Frog VLE berada di bawah paras jangkaan.

Pada 2019, KPM menghentikan penggunaan Frog VLE di sekolah, menggantikannya dengan Google Classroom dan alternatif lain.

Ekoran itu, YTL mendakwa kerajaan melanggar obligasi kontraktual susulan penamatan 1BestariNet dan Frog VLE.

Pada 2020, KPM bertegas tidak mahu meneruskan kontrak 1BestariNet dengan YES 4G.

Selepas pecah cerita penggeledahan yang dibuat SPRM, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dirinya terlibat dalam pemberian tender perkhidmatan 1BestariNet ketika menjadi Menteri Pendidikan.

“Wallahi, satu sen pun saya tidak ambil,” katanya ketika menjawab soalan mengenai siasatan SPRM berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan terpulang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

Jadi sekarang, kita tunggu apa yang akan diperolehi oleh SPRM dari penyiasatan mereka ini.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas