Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
IRONINYA penyakit anxiety sering dikaitkan dengan lemahnya iman namun terdapat pelbagai faktor mempengaruhi individu yang menghidap anxiety.
Menurut pendakwah bebas yang juga perawat kerohanian, Shahrin Abd Rahman, masyarakat tidak boleh mengatakan bahawa ia berpunca daripada pesakit tersebut tidak menjaga hubungan dengan Allah.
“Kebanyakan pesakit saya adalah mereka yang bertudung labuh, berkopiah, menjaga solat, sentiasa akrab dengan majis ilmu dan ada juga yang merupakan pelajar jurusan agama.
“Hasil daripada pengamatan saya, penyakit anxiety ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya keturunan di mana mungkin individu tersebut mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap penyakit yang sama, mengalami masalah pemakanan seperti pengambilan kafein terlalu tinggi, penyakit kronik yang menyebabkan kebimbangan berlebihan dan pengambilan ubat-ubatan terlalu banyak.
“Selain itu, keadaan sekeliling yang buruk seperti tekanan di tempat kerja, kekurangan sokongan ahli keluarga atau rakan serta terasa terpinggir juga mendorong individu tersebut mengalami masalah anxiety.
“Namun tidak dinafikan juga ia mungkin boleh terjadi disebabkan kurangnya ilmu fardu ain terutama ilmu tauhid di mana seseorang mudah hilang pedoman dalam menangani masalah kehidupan,” ujarnya.
Tambah Shahrin serangan anxiety sering berlaku secara tiba-tiba dan acap kali dikaitkan dengan gangguan sihir atau makhluk halus.
“Tidak dinafikan ada sebahagian daripada mereka berpunca daripada masalah gangguan jin di mana bila seseorang itu sudah lama terkena sihir yang boleh menyebabkan mereka mengalami anxiety dan panic attack.
“Penyakit anxiety ini bukan sahaja boleh dirawat di hospital malah ada sebahagian daripada pesakit ini yakin ia boleh dirawat dengan kaedah ruqyah dan kerohanian.
“Kebiasaannya kaedah rawatan adalah dengan pembacaan ayat-ayat Al-Quran, beberapa zikir atau wirid yang masyhur serta doa-doa dari ulama-ulama yang muktabar namun jangan mengabaikan rawatan daripada pihak hospital kerana untuk mereka yang kronik perlu dapatkan ubat untuk mengawal penyakit itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Shahrin berkata terdapat beberapa amalan yang boleh dipraktikkan dalam mengatasi masalah anxiety menurut Islam.
“Buat pesakit anxiety boleh mengamalkan bacaan isti’azah sebanyak 10 kali, Al-Fatihah, Ayat Kursi (7 kali), Al-Ikhlas (11 kali), Al-Falaq (11 kali) dan An-Nas (11 kali). Ia boleh dilakukan selepas Subuh dan Asar selama 41 hari secara berterusan tanpa tinggal.
“Selepas 41 hari amalkanlah mengikut masa yang terluang setiap hari sehingga masalah anxiety berkurangan atau sembuh. Ini merupakan saranan amalan untuk menguatkan rohani seseorang namun sekiranya ia semakin tidak terkawal perlulah dirujuk ke hospital,” katanya.
Jelasnya Islam menyuruh umatnya mendapatkan rawatan apa cara sekali pun selaras dengan landasan ajaran Islam (halal dan toyyiban) termasuklah rawatan moden di klinik dan hospital atau alternatif yang berpandukan ayat Al-Quran dan tiada unsur syirik dan pemujaan jin dan syaitan. – WILAYAHKU