Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
MUNGKIN ramai yang sudah maklum berkenaan penyakit gangguan kebimbangan melampau atau lebih dikenali sebagai anxiety attack yang galak menyerang individu dalam berdepan kelemahan dari segi mental dan fizikal.
Jika menyentuh tentang masalah kesihatan mental, ramai yang lebih rela memilih untuk mengunci mulut dan menanggung sendiri daripada berjumpa pakar psikiatri. Ini kerana stigma yang mendalam terhadap rawatan ini belum dapat dihapuskan dalam kalangan masyarakat kita.
Kepada yang tidak mengerti, barangkali ada yang melontarkan persepsi dan komen negatif bahawa golongan berkenaan hanya ‘bermain dengan perasaan’ ataupun mengada-ngada, jangan terlalu skeptikal.
Jangan ambil mudah masalah kecelaruan keresahan ini kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri dan orang sekeliling. Malah, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit ini.
Menurut Pengamal Perubatan, Dr Amalina Azmi, anxiety adalah perasaan bimbang, risau atau gelisah yang sangat mendalam. Kebiasaannya, ia sukar untuk dikawal dan mungkin berkekalan untuk tempoh masa yang agak lama.
“Dari segi fizikal, biasanya anxiety boleh menyebabkan muscle tension atau kebas pada beberapa bahagian badan dan mereka yang menghidapi anxiety akan mudah terasa letih ekoran terlalu banyak berfikir. Mereka yang menghidapi anxiety juga lebih mudah untuk rasa kecewa dan marah disebabkan terlalu risau,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan bahawa mereka yang overthinking cenderung untuk mengalami masalah anxiety namun tidak semestinya orang yang mengalami masalah tersebut menghidapi anxiety.
“Antara cara untuk mengenal pasti tanda-tanda anxiety adalah apabila seseorang itu mula hilang tumpuan pada kerja, pelajaran atau aktiviti harian mereka. Sesetengah orang mungkin merasa hilang tumpuan ini adalah kerana mereka kurang kompeten namun ia sebenarnya adalah salah satu tanda anxiety yang serius. Tanda lain yang harus diperhatikan adalah apabila jantung berdegup dengan laju.
“Anxiety mempunyai kategori yang agak besar untuk diagnosis. Ada beberapa jenis anxiety antaranya panic disorder yang mana seseorang itu akan mengalami panic attack, kecelaruan keresahan sosial, fobia khusus (specific phobia) dan agoraphobia,” ujarnya.
Amalina berkata terdapat beberapa ciri dan simptom yang dikenal pasti berkaitan dengan gejala ini.
“Tanda dan gejala anxiety adalah gelisah, berpeluh, perut memulas, sering buang air kecil atau masalah diarea, sukar bernafas dan tercungap-cungap, menggeletar, otot tegang, sakit kepala, lemah dan lesu, insomnia, ketakutan, sukar untuk fokus, mudah marah, intense dan sering waswas, sensitif terhadap potensi bahaya, fikiran kosong dan mudah terkejut,” ujar beliau.
Tambahnya, gangguan anxiety boleh jadi menakutkan, mengganggu dan melemahkan. Hal ini kerana banyak gejalanya yang serupa juga ditemui dalam kategori penyakit seperti jantung, masalah tiroid dan gangguan pernafasan.
“Kajian menunjukkan perasaan asing itu berlaku kerana interaksi antara faktor genetik dan persekitaran. Namun, secara umumnya terdapat beberapa lagi punca seperti stres, kurang keyakinan diri atau terlalu mementingkan kesempurnaan dan sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah serupa.
“Selain itu, sesetengah gaya hidup yang dipraktikkan seperti penyalahgunaan substans dan masalah kesihatan juga boleh menyumbang kewujudan gejala keresahan melampau ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata satu kajian komuniti di Malaysia menunjukkan sekitar lapan peratus rakyat dewasa negara ini mengalami gejala kebimbangan melampau. Oleh sebab penyakit itu tidak dapat dilihat secara fizikal, banyak kes-kes yang tidak dirawat.
“Ramai yang salah faham mengenai penyakit ini. Oleh kerana pemeriksaan kesihatan biasanya mendapati fizikal seseorang itu sihat, pesakit anxiety
sering dianggap mengada-adakan masalah. Lebih buruk, ada yang tidak dapat sokongan ahli keluarga dan persekitaran.
“Salah faham sebegitu perlu diperbetulkan kerana sekiranya tidak dirawat, ia boleh memberi kesan jangka masa panjang pada individu itu,” ujarnya.
USAH TUNGGU NYAWA MELAYANG
SESUNGGUHNYA, jangan sesekali memandang enteng penyakit anxiety. Sekiranya dibiarkan, nescaya, natijahnya akan mengundang masalah fizikal yang lebih teruk.
“Antara hal-hal buruk yang boleh tercetus adalah seperti mengalami pedih perut (gastrik), turun berat badan serta tekanan darah tinggi disebabkan masalah psikologi seperti rasa rendah diri, gangguan tidur dan hilang selera makan.
“Dari segi sosial pula, golongan itu berisiko tidak fokus dalam pembelajaran atau bekerja, tidak pandai berkawan dan cenderung untuk mengambil dadah atau minum alkohol yang berlebihan. Kesemua itu boleh menjejaskan kualiti kehidupan.
“Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, pesakit boleh menghidapi tekanan hidup lebih teruk, tidak bermaya, kemurungan yang serius serta boleh mencederakan diri sendiri. Lebih teruk apabila mereka sanggup untuk membunuh diri dek kepayahan yang ditanggung.
“Ada juga boleh ke tahap sakit mental atau gila yang mana istilah perubatan berkaitan skizofrenia, kecelaruan, kemurungan keterlaluan dan kecelaruan bipolar,” tambahnya.
Justeru, beliau menyarankan pesakit untuk mengendalikan tekanan dengan baik, mendapatkan sokongan persekitaran, gaya hidup yang sihat dan mengelakkan penyalahgunaan substans boleh membantu.
“Kendalikan juga konflik perhubungan dengan baik. Dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya terdapat tanda-tanda awal kebimbangan melampau. Rawatan awal penting bagi memastikan pesakit sembuh dan dapat menjalani kehidupan normal termasuk boleh bekerja, namun mereka masih perlu mengambil ubat seperti yang disarankan doktor.
“Buat kenalan atau ahli keluarga terdekat pesakit pula, belajarlah memahami dan jangan meremehkan perasaan dan pengalaman mereka. Bantu mereka mengendalikan tekanan. Dorong mereka mendapatkan bantuan profesional sekiranya masih belum berbuat demikian.
“Perlu ditekankan bahawa pesakit patut menerima penjagaan dan rawatan yang sewajarnya bagi memastikan mereka dapat menguruskan keadaan mereka. Ingatlah, tanggungjawab untuk mencegah penyakit mental bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental tetapi juga pihak lain termasuk sekolah, universiti, badan profesional serta masyarakat,” tegasnya. – WILAYAHKU