Berita

Anwar utamakan keamanan rakyat pelbagai kaum

Kredit: Al-Jazeera
- Diterbit 24 Mei 2024 9:40 AM MYT

INDEKS Kebebasan Media Dunia baru-baru ini merekodkan kejatuhan signifikan Malaysia sebanyak 34 anak tangga daripada 73 ke 107 dalam tempoh setahun.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikecam hebat oleh netizen yang menganggap beliau tidak membenarkan kebebasan media sejak Kerajaan MADANI ditubuhkan.

Malah tuduhan tersebut juga turut menuduh sebarang media yang cuba untuk mengkritik kerajaan akan diambil tindakan atau berada dalam pemerhatian.

Memetik kenyataan Anwar ketika ditemu bual penyampai Al Jazeera, Sami Zeidan dalam Program Talk To Al Jazeera baru-baru ini, beliau mengakui terdapat had kepada kebebasan media, terutama berkaitan perkara sensitif seperti kaum, agama dan raja (3R).

“Dalam melaksanakan kebebasan media, kita tidak akan membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak kisahlah sama ada kita diturunkan (kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media), tetapi apa yang penting ialah kritikan dibenarkan, isunya apabila menyentuh 3R, mengutuk kaum, agama, mengajak dan menghasut melakukan rusuhan, tidak boleh ada perkara itu dalam negara kami,” katanya.

“Namun di bawah pentadbiran saya, kerajaan tidak pernah menahan mana-mana wartawan atau mengharamkan mana-mana surat khabar di negara ini kerana mengkritik kerajaan,” ujar beliau.

Walaupun begitu, menurut Anwar, isu dakwaan mengatakan Yang di-Pertuan Agong dalam cadangan penubuhan kasino di Johor, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi Raja Melayu.

“Perkara ini boleh memberikan kesan signifikan terhadap sentimen orang ramai sekali gus ia sangat berpotensi mewujudkan keadaan tidak baik.

“Pertama, ia suatu fitnah dan keduanya, menyentuh Perlembagaan Persekutuan. Malah fakta itu adalah salah kerana tidak ada cadangan untuk membuka kasino,” ujar beliau.

Diharapkan masyarakat tidak lagi sewenang-wenang membuat hantaran bersifat palsu, jelik dan mengancam kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas