Berita

Anwar sampaikan ucaptama pada SME Day 2024 di Berlin

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 Mac 2024 1:30 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiba di Berlin Station di sini bagi menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 (Mittelstand).

Sebelum menyampaikan ucaptama pada acara SME terbesar di Jerman itu, Anwar bertemu Naib Canselor merangkap Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck.

Beliau disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad  Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Berlangsung di Berlin Station, SME Future Day yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) itu menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan selain tokoh korporat serta figura penting kerajaan.

Enam syarikat Malaysia turut mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan sempena acara itu menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Syarikat terbabit ialah Marniq Bersatu Sdn Bhd, Primelux Energy Sdn Bhd, Ade Azhar Trading Sdn Bhd, 59Kopa Sdn Bhd, Marrybrown dan Old Town White Coffee.

Acara itu menyediakan platform untuk membina rangkaian serta mengadakan perbincangan antara pembuat keputusan dalam dunia korporat dan politik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas