Berita

Anwar prihatin bencana gempa bumi Myanmar , Thailand

- Diterbit 29 Mac 2025 12:00 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga mangsa gempa bumi yang melanda Myanmar dan Bangkok, Thailand semalam.

Perdana Menteri menerusi hantaran yang dibuat di akaun facebooknya, juga bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan dan juga sokongan sekiranya diperlukan.

“Saya sangat prihatin dengan bencana gempa bumi yang menggegarkan tengah Myanmar dan utara Thailand sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan teruk di Myanmar, Bangkok dan wilayah berhampiran.

“Laporan mengenai bangunan runtuh, mangsa terperangkap dan meninggal dunia sangat menyedihkan.

“Kami turut memantau perkembaangan di daerah Yunnan iaitu selatan China yang turut merasakan gegaran dan kerosakan struktur bagunan,” katanya perdana menteri.

Beliau menambah, Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan dan menyokong usaha-usaha kemanusiaan yang diperlukan.

“Malaysia berdiri teguh dalam solidariti tidak berbelah bagi kepada negara jiran dan anggota ASEAN.

“Kami mengiktiraf pengisytiharan darurat yang dibuat pihak berkuasa Myanmar, serta penetapan Bangkok sebagai kawasan yang terjejas bencana oleh kerajaan Thailand.

“Malaysia juga bersedia memberikan bantuan dan menyokong usaha-usaha kemanusiaan yang diperlukan,” katanya lagi.

Semalam gempa bumi dengan kekuatan 7.7 magnitud menggegarkan Myanmar dan Thailand.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berada pada
kedalaman 10 kilometer (6.2 batu).

Pusat gempa itu kira-kira 17 kilometer dari sebuah bandar Myanmar, Mandalay, yang dihuni kira-kira 1.5 juta penduduk.

Gempa itu diikuti dengan gempa susulan yang kuat dan beberapa lagi gegaran sederhana.-WILAYAHKU

Foto: TikTok

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas