PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya tidak pernah mendengar sama sekali rancangan untuk rombakan Kabinet seperti yang dilaporkan sebuah portal hari ini.
“Saya baharu diberitahu, tidak dengar lagi siapa yang hendak tolong reshuffle (rombak)…saya tidak dengar.
“Dari mana dengar..jangan percaya,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, portal tersebut memetik sumber PKR berkata seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Kabinet.
Menurut sumber itu prestasi menteri terbabit telah ‘dipersoalkan’.
Ketika ditanya dakwaan seorang menteri besar akan dilantik dalam Kabinet, beliau bagaimanapun, berkata perkara itu mungkin direalisasikan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
“Selepas pilihan raya akan datang, insya-Allah,” katanya.
Kali terakhir Kabinet dirombak pada Disember tahun lalu dan dibesarkan daripada 29 menteri kepada 31 menteri.
V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia, manakala dua individu kembali sebagai menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Amanah sebagai Menteri Kesihatan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari UMNO sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Sementara itu, beberapa menteri bertukar portfolio. – WILAYAHKU