Berita

Anwar mahu semua murid kuasai bahasa Melayu tanpa tolak ansur

- Diterbit 23 November 2023 3:37 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kedudukan bahasa Melayu ditingkatkan tanpa tolak ansur dan pada masa sama mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid ditingkatkan mulai tahun depan .

Bercakap mengenainya, Anwar menegaskan bahawa penguasaan dwi bahasa itu penting dan ia diberi penekanan dalam kalangan negara maju.

“Sekarang ini kita bicara mutu pendidikan, bahasa Melayu bahasa utama, mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris.

“Jadi mulai tahun depan, mutu penguasaan bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain mempertahankan kedudukan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali dan jemaah menteri serta pegawai tinggi kerajaan.

Perdana Menteri turut mengingatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak ada yang mempertikaikan usaha kerajaan untuk memberi keutamaan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Jadi jangan ada yang pertikai lagi seolah-olah (kerajaan) memberi keutamaan bahasa Inggeris, kita meninggalkan bahasa Melayu…tidak.

“Kalau nak negara ini di angkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

“Kalau anak itu anak Malaysia, wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik. Jangan kita pandang ringan hal ini,” ujarnya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas