Berita

Anwar kritik hipokrasi Barat

TANGKAP layar dari laman web Zeteo ketika Mehdi Hasan menemu bual Anwar Ibrahim secara eksklusif di Kuala Lumpur.
- Diterbit 11 Oktober 2024 10:00 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang ketika ditemu bual pengulas politik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Mehdi Hasan untuk mengkritik sekeras-kerasnya dan menghentam hipokrasi Barat dalam konflik Gaza.

Bercakap dalam program Mehdi Unfiltered di portal Zeteo, Anwar memberitahu Mehdi yang juga Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Zeteo bahawa negara-negara Barat sekadar membiarkan apa berlaku di Gaza.

Anwar turut menghentam AS yang dilihat tidak berpendirian mengenai konflik berkenaan.

“Mereka (AS) ini menyokong gencatan senjata tetapi pada masa sama, menghantar senjata (kepada Israel). Inilah hipokrasi pentadbiran AS,” tegas beliau.

Menurut Anwar, biarpun Malaysia sebuah negara kecil tetapi negara ini memainkan peranan signifikan menyuarakan keadilan terhadap Palestin.

Malah katanya, Malaysia mengambil langkah berani dengan tidak membenarkan kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

“Ya Malaysia ini negara kecil tetapi ia (menuntut keadilan terhadap Palestin) adalah suara hati nurani dan saya mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam temu bual eksklusif itu, Anwar turut diajak bercakap mengenai kritikan antarabangsa terhadapnya selepas mengadakan lawatan dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Mei lalu, sebelum kematian pemimpin tersebut.

Tegas Anwar, Hamas mewakili sebahagian penduduk Palestin dan biarpun tidak semua rakyat Palestin menyokong Hamas, mereka masih sebahagian daripada komuniti Palestin.

“Kita tidak boleh melabel mangsa dan rakyat yang dijajah, yang memilih untuk melawan penjajah mereka sebagai pengganas,” katanya.

Terdahulu, Mehdi yang berada di Malaysia sempena Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) memuji Anwar terhadap kelantangannya dalam isu membabitkan konflik di Gaza.

Mehdi berkata dunia memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Anwar yang telah mengambil pendirian berani dalam memperjuangkan nilai-nilai universal.

Katanya, pendirian Perdana Menteri jelas terserlah terutama semasa lawatan beliau ke Jerman pada Mac lalu di mana beliau bertemu dengan Canselor Olaf Scholz.

Dalam pertemuan itu, Malaysia dan Jerman telah menyeru untuk gencatan senjata kekal di Gaza dan pembebasan semua tebusan.

Mehdi memuji kesediaan Anwar untuk bersuara dalam mempertahankan Palestin di hadapan Schulz.

“Saya mengagumi beliau yang telah berdiri dan bersuara dengan lantang mengenai apa yang berlaku di Gaza,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas