HUBUNGAN akrab Malaysia dan Indonesia bukanlah perkara baharu memandangkan ia telah terjalin sejak sekian lama. Malah hubungan istimewa tersebut membawa banyak kelebihan antara kedua-dua buah negara.
Persamaan yang wujud di antara dua negara serumpun dari pelbagai aspek antaranya budaya mengeratkan lagi jalinan persahabatan yang menyaksikan Indonesia merupakan negara terpenting bagi hubungan luar Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi menyifatkan ia adalah perjumpaan keluarga dan sahabat sejati.
Malah, pertemuan tersebut juga dilihat berjaya menoktahkan pelbagai isu yang telah berlarutan sejak puluhan tahun sekali gus turut memberi kelegaan kepada kedua-dua buah negara.
โJadi komitmen presiden ini amat jelas, sebab itu pengarahan kita ini dan disambut baik di luar, satu jalur keras dan satu jalur sederhana itu sangat akrab dan saya bangga dengan pimpinan kedua-duanya kita dapat selesaikan satu isu yang kita runding selama berpuluh tahun,โ kata beliau merujuk isu persempadanan maritim yang berjaya diselesaikan selepas 18 tahun.
Dalam mana-mana sejarah hubungan dua hala dengan mana-mana negara, kerjasama dan persefahaman antara Malaysia dan Indonesia meningkat dengan luar biasa dalam tempoh yang singkat.
Anwar dan Jokowi turut menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian dua hala di Kompleks Seri Perdana baru-baru ini.
Enam instrumen tersebut adalah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka; Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi; Perjanjian Perdagangan Sempadan; Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.
Dalam pada itu, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) persidangan Dewan Rakyat pada Selasa, Anwar menjelaskan perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini tidak akan menjejaskan hak kedaulatan dan merugikan negara khususnya kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang.
โKerajaan telah memaklumkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa perjanjian persempadan tersebut terletak tiga batu nautika dari perbatasan Johor.
โBagi Sabah pula, Sabah tidak dimeterai dalam hal ini. Ketua Menteri Sabah dimaklumkan bahawa memuktamadkan Pulau Sebatik dan kawasan yang melibatkan Tawau dan Sabah itu ditangguhkan sehingga ada persetujuan baharu kerana kita belum bersetuju,โ ujar beliau perjanjian berkenaan tidak melanggar peraturan asal sempadan one to one serta dipersetujui semua pakar. – WILAYAHKU