Berita

Anwar jamin kebebasan media kekal

- Diterbit 8 Jun 2024 6:32 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus melindungi kebebasan media di negara ini kerana ia penting dalam mempertahankan keharmonian masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal namun ia tidak boleh digunakan untuk memecah belahkan perpaduan dan keharmonian dengan menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum.

“Tapi negara ini juga mempunyai masalah, isu yang sering menghangatkan suhu politik, menggunakan hal-hal yang dibahaskan lebih setengah abad contohnya, soal kaum.

“Kalau ia berdasarkan fakta tidak apa, tapi kalau sehingga menggugat itu tidak boleh. Apa lagi soal Islam atau agama lain.

“Apakah mesti melontar idea yang hanya akan menimbulkan prasangka, kebencian, atau kerunsingan? Islam tidak mungkin berkembang dengan pandangan demikian,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di ibu negara, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mampu menjadi negara yang hebat sekiranya wartawan tempatan dapat menumpukan pelaporan dengan matlamat untuk menjamin keamanan dan mengangkat kemajuan negara.

Terdahulu, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas adalah acara tahunan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang sepanjang tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas