Berita

Anwar gesa syarikat swasta contohi Khazanah beri gaji minimum RM3,000

- Diterbit 4 September 2024 10:33 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-syarikat swasta mencontohi langkah Khazanah Nasional Bhd yang menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk pekerjanya.

Beliau akui kepentingan syarikat swasta untuk mencatatkan keuntungan, tetapi pada masa sama percaya harus ada iltizam daripada pihak pengurusan syarikat swasta untuk menjamin keselesaan pekerja mereka.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan amanat di Majlis Ulangtahun Khazanah Nasional Berhad Ke-30 semalam yang telah mengumpulkan warga Khazanah terdahulu sehingga kini.

Sementara itu, Anwar berkata pimpinan politik seharusnya tidak campur tangan dalam urusan perniagaan dan perdagangan yang membabitkan syarikat strategik negara termasuk Khazanah Nasional.

Katanya, prestasi syarikat tidak harus tergugat sehingga terpaksa menanggung kerugian besar seperti mana pernah dialami syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines sebelum ini.

“Sekalung penghargaan kepada Khazanah kerana telah berikhtiar sebaik mungkin untuk memulihkan Malaysian Airlines dan kerajaan juga akan menyokong usaha ini agar syarikat penerbangan kebanggaan negara ini dijulang semula di mata dunia,” katanya di Facebook.

Bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan pengumuman kadar gaji minimum baru bagi sektor swasta.

Kali terakhir kerajaan menyemak semula gaji minimum pada Mei 2022, semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pentadbiran Ismail pada masa itu menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 untuk syarikat swasta yang mempunyai lima pekerja dan lebih.

Pada 16 Mei lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata cadangan gaji minimum RM2,102 sebulan yang dicadangkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ​​akan dikaji dengan teliti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas