Berita

Anwar dedah terima ugutan pertahan Palestin

Foto kredit: PMO
- Diterbit 24 Oktober 2023 4:51 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia mula diserang oleh beberapa negara kuasa besar ekoran membela nasib Palestin.

Tegas beliau, Malaysia tidak sesekali gentar dengan ugutan dan tekanan tersebut.

“Saya dikritik, mula diserang beberapa kalangan Amerika Syarikat, Eropah dan Israel. Waspada saya beritahu, selagi saya diberi mandat oleh rakyat saya tidak terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan.

“Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan sebegitu. Bagi kita lawan tetap lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.

Dianggarkan lebih 15,000 orang hadir dari seluruh negara bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel sejak beberapa minggu lalu.

Kata beliau, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia akan kekal bebas dan akan terus mempertahankan kebebasan negara dan juga memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Malaysia negara yang bebas dan merdeka, dan akan kekal sebagai negara yang berdaulat, yang akan perjuangkan kebebasan dan hak rakyat Palestin.”

“Saya telah terima banyak teguran dan ugutan. Tetapi saya sebut, kamu salah pilih orang.” ujarnya.

Beliau turut menyatakan kekesalan banyak negara menutup mata apabila tindakan barbarian regim Israel yang telah melampaui batas kemanusiaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas