Berita

Anwar cabar pembangkang bawa usul undi tak percaya di Dewan Rakyat

- Diterbit 21 September 2024 12:46 AM MYT

PEMBANGKANG dicabar untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 14 Oktober ini.

Anwar berkata pembangkang perlu tahu negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan dan tidak boleh sewenang-wenangnya untuk menurunkannya sebagai perdana menteri.

“Lihat penyokong dia, turun, turun. Ada 30 orang. Anwar turun.

“Negara apa. Sistem apa. Datang sini beritahu suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tidak ikut peraturan dan hukum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Anwar turut membidas pembangkang yang hanya mengkritiknya tetapi tidak dapat menguruskan masalah di negeri yang mereka perintah.

“Bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan. Tidak payah jerit.

“Banjir pun tak terurus. Muka ini juga nak tolong di Kedah esok. Kita boleh tolong sebab ekonomi terurus,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.

Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Januari tahun ini dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekkan tempoh notis.

Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas