PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang semalam bagi memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara yang kini mencecah usia 50 tahun.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah pada kerajaan China atas penganjuran Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Ke-7.
Menurutnya, penganjuran ekspo itu menjadi lembaran penting buat ratusan perusahaan kecil dan sederhana dari pelbagai negara termasuk Malaysia untuk mengembangkan perniagaan.
“Saya ulangi pendirian Malaysia yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara.
“Prinsip ini menjadi antara asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Anwar menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS.
Berhubung kerjasama Malaysia-China, beliau berkata Malaysia akan terus terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik yang lebih banyak.
“(Ini melibatkan) pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan dan dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi.
“Malaysia juga mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.
Beliau berkata Malaysia mempunyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan itu menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC).
“Usai pertemuan ini, saya dan Li menyaksikan pertukaran dokumen terkait Belt and Road Initiative (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Bernama dan China Media Group (CMG).
“Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Li serta memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” katanya. – WILAYAHKU