Berita

Anwar bakal sampai ucaptama di Forum Serantau YAPEIM 2024

- Diterbit 13 September 2024 12:42 PM MYT

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akan menganjurkan Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) yang menghimpunkan hampir 60 penceramah dan ahli panel dari dalam dan luar negara dengan pelbagai latar belakang selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober ini.

Lebih istimewa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan dan menyampaikan ucaptama dalam forum tersebut.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024, Profesor Datuk Dr Saadiah Mohamad, penganjuran FSY2024 menyasarkan kehadiran 500 peserta dari dalam dan luar negara dan boleh diikuti secara fizikal mahupun dalam talian di laman Youtube YAPEIM TV juga menerusi sesi siaran langsung di Facebook YaPEIM (Official).

“FSY2024 akan dikendali dalam bahasa Melayu sebagai lingua franca Nusantara dengan beberapa sesi akan turut dijalankan dalam bahasa Inggeris. Ini bertujuan untuk memastikan penyertaan yang luas dan memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta dari
seluruh rantau Nusantara.

“FSY2024 mempunyai objektif untuk mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi dan kewangan semasa; merancang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk
membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam; memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisien dan tadbir urus yang baik dan untuk menghubungkan jaringan dan mengeratkan rantaian serta mewujudkan sinergi dan hubungan ekonomi antara ummah di rantau Nusantara,” katanya ketika sidang media FSY2024 hari ini.

Beliau berkata forum yang mengetengahkan tema Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau itu turut menjemput penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia.

“Mereka yang dijemput mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pakar ekonomi, tokoh belia, penyelidik, pemimpin pelajar, usahawan sosial, pensyarah universiti awam dan swasta, wakil kementerian, ketua-ketua badan bukan kerajaan dan juga pengamal industri dalam sektor ekonomi dan kewangan Islam.

“Antara topik yang akan dibincang serta dikupas dalam FSY2024 ialah memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan atau fintech dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi hijau dan kelestarian; ekonomi digital; keusahawanan; belia, kemahiran dan pekerjaan; industri halal dan pelancongan Islam serta memperkasa institusi dan agensi Islam,” ujarnya.

Dalam masa sama, Saadiah berkata YAPEIM menganjur FSY2024 berfokuskan pembangunan ekonomi dan kewangan Islam di rantau Nusantara.

“Forum ini diharap dapat menjadi platform untuk merangka strategi baharu dan inisiatif yang praktikal bagi memajukan ekonomi Islam di rantau ini serta memberi dorongan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas