Berita

Anwar, Arm Limited bincang arah tuju teknologi pengkomputeran

Foto: FB Anwar Ibrahim
- Diterbit 10 Februari 2025 4:05 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Arm Limited, Will Abbey.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebook berkata, Arm Limited ialah sebuah syarikat peneraju dunia dalam teknologi Unit Pemprosesan Pusat (CPU) yang berpangkalan di United Kingdom.

“Ia memberi fokus kepada pembinaan masa depan pengkomputeran. Ini termasuk peranan sebagai arkitek, membangun dan melesenkan penyelesaian hak harta intelek (IP) yang berprestasi tinggi, kos rendah dan cekap tenaga.

“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai arah tuju teknologi pengkomputeran agar Malaysia boleh mengukuhkan kedudukan dalam menjadi hub terutamanya terkait ekosistem semikonduktor dan pusat data,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut menjadi satu lagi bukti bahawa melalui dasar yang jelas seperti Strategi Semikonduktor Nasional dan lain-lain kelebihan, Malaysia berterusan menjadi tumpuan pelabur-pelabur luar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas