Berita

Anwar arah Menteri bukan Melayu sertai KEB 2024, tangani isu ekonomi rentas kaum

ANWAR (kanan) sentiasa memberi tumpuan terhadap soal ekonomi rakyat di negara ini. -Gambar hiasan
- Diterbit 3 Februari 2024 8:25 AM MYT

PENDEKATAN baharu yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dihadiri anggota Kabinet bukan Melayu adalah suatu perkara yang perlu disambut baik.

Ini kerana rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya, agama dan bangsa sekali gus ia menjadi satu tarikan kepada seluruh dunia.

Namun disebalik saranan PM, ada pula pihak yang tidak berpuas hati dan menganggap ia merupakan permulaan atau tanda-tanda Anwar mula membawa masuk secara halus kaum lain ke dalam kongres yang dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan.

Di sebalik rungutan dan kecaman yang tidak masuk akal tersebut, kita sepatutnya cuba melihat ke arah perkara yang lebih positif daripada terus-terusan mengecam apa yang dilakukan.

Tidak perlu terlalu meributkan keadaan kerana dengan tindakan yang tidak matang seperti ini hanya akan memburukkan situasi dan dalam masa yang sama membawa impak negatif kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jika dilihat daripada satu sudut, penglibatan kongres ini lebih menyeluruh kepada semua kaum, maka ia dapat membawa kepada penyelesaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Apa yang pasti dan jelas Anwar mengambil berat dan memperjuangkan ekonomi Bumiputera khususnya orang Melayu dan beliau secara tidak langsung mahukan hala tuju dan pandangan yang bernas.

Memetik ucapan beliau pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 baru-baru ini, tujuan langkah tersebut dilakukan bukanlah mahu mengutamakan Cina sebaliknya agar isu ekonomi ditangani secara bersama merentas etnik dan kaum.

“Jadi saya mahu dengan Malaysia baru ini, masalah India dan Cina adalah masalah kita.

Begitu juga masalah Iban, Dayak dan masalah bumiputera menjadi masalah kaum lain di Malaysia. Agenda membantu bumiputera ini ada kesan dan kelainan yang unik.

“Ia mesti ditangani dengan bijaksana dan dijadikan agenda bersama dengan menekankan beberapa pendekatan baru,” kata beliau ketika berucap di Pusat Konvensyen Casuarina, Perak.

Justeru kata beliau, pendekatan itu harus diterima secara berani oleh BN dan PH terutama UMNO, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili parti Melayu.

Terdahulu, KEB akan menumpukan 10 kluster utama anyaranya reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi bumiputera Sabah, ekonomi bumiputera Sarawak dan penguasaan teknologi baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas