SATU pengiktirafan berharga buat PTTI apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Brand Laureate Bestbrands in Online Education Platform (Platform Pendidikan Dalam Talian).
Selepas lima tahun beroperasi, PTTI yang merupakan pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menerima anugerah tersebut pada 19 Disember lalu di ibu pejabat The Brand Laureate, Damansara Utama, Petaling Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif pusat pengajian tinggi itu, Siti Farhana Abu Osman berkata, anugerah tersebut menjadi bukti kelangsungan syarikat untuk terus mendidik pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.
“Di sebalik ujian ketika semua rakyat berdepan dan bergelut dengan pandemik Covid 19, anugerah ini menjadi satu rahmat terindah buat kami di PTTI.
“Pengiktirafan ini menjadi satu anjakan paradigma bagi kami kerana ia terlalu besar dan menjadi sejarah baharu buat kami seiring dalam membiasakan norma baharu menerusi pendidikan secara online.
“Kejayaan ini hasil dedikasi seluruh warga kerja PTTI dan ia termasuk guru yang bertungkus lumus menyalurkan ilmu berharga kepada pelajar,” katanya yang bersyukur PTTI turut disokong oleh artis terkenal Mira Filzah.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena penerimaan anugerah daripada Presiden The BrandLaureate, Dr. KK Johan di sini baru-baru ini.
Menurut Siti Farhana, PTTI bermula secara tidak rasmi sekitar tahun 2014 dan hanya pada tahun 2016, pusat berkenaan semakin agresif dalam usaha menawarkan ilmu kepada pelajar.
“Untuk sampai ke tahap sekarang, ia bukan satu laluan mudah. Pengalaman dan pergelutan mematangkan kami di PTTI.
Tambah beliau, pihaknya mengajar pelajar SPM tanpa perlu menghafal mata pelajaran semata mata, tetapi sebaliknya pelajar perlu memahami cara dan teknik yang betul dalam sesi pembelajaran.
“Melalui teknik tersebut, pelajar boleh menjawab pelbagai soalan dengan baik meskipun ia sukar,” katanya.

Siti Farhana menerangkan, PTTI mula memenangi hati pelajar apabila muncul di platform media sosial seperti di YouTube, Instagram, Facebook dan Tik Tok kerana berjaya membantu mereka dengan video pembelajaran secara percuma.
Sejak awal penubuhan hinggalah kini, mereka sudah membantu lebih 100,000 pelajar SPM memperoleh skor terbaik.
Semoga kejayaan PTTI ini dapat dicontohi oleh pihak lain dalam mempertingkatkan mutu pendidikan dalam kalangan remaja terutamanya calon-calon SPM. – WILAYAHKU