PERNAH ‘bergelut’ kontroversi apabila dikatakan membuat tafsiran sendiri ayat Al-Quran, Ahli Parlimen Ipoh Timur, HOWARD LEE CHUAN HOW kini lebih berhati-hati dalam berbicara.
Secara hikmahnya beliau sedar dan memahami tafsiran Al-Quran memerlukan ilmu mendalam.
Menjangkaui semua itu, Howard Lee diakui antara pemimpin muda yang ‘digeruni’ terutama ketika bersidang di Dewan Rakyat.
Petah dengan loghat Perak, bersama wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau berkongsi pelbagai pandangan selain diajak bercakap mengenai parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan yang dahulunya saling bertikam lidah, kini disatukan demi negara.
YB pernah terpalit isu memetik dan membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran. Apa pengajaran yang YB peroleh berkait isu tersebut?
Ia menjadi pengajaran besar buat diri saya. Sampai ke hari ini, pasti ada yang panggil saya ‘Ustaz Howard’. Dalam hal ini saya perlu lebih berhati-hati. Sebagai seorang yang sering menggunakan petikan daripada sumber-sumber syumul seperti al-Quran bagi kegunaan perbahasan Parlimen dan tulisan untuk mengaitkan mesej yang baik dan inklusif, saya sedar tidak semua tafsiran yang kita kongsi dapat diterima dengan cara betul.
Bila isu ini tular, saya berpeluang bertemu ramai ilmuwan agama antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar. Mereka menegur dengan baik dan saya amat hargainya. Dari situ saya lebih memahami tafsiran al-Quran memerlukan ilmu mendalam dan pengajian bertahun-tahun bersama ahli agama berkelayakan, bukannya boleh ditafsir semberono (walaupun hakikatnya saya berkongsi, bukannya mentafsir). Saya telah meminta maaf atas kekhilafan tersebut dan tidak akan berhenti meminta maaf, sebab biasalah, isu-isu seperti ini mudah untuk tular pada masa akan datang.
Di Dewan Rakyat, pembangkang dilihat masih belum ‘move on’ isu pembentukan Kerajaan Perpaduan. Ungkapan UMDAP masih jadi bahan ejekan. Pendapat YB?
Secara jujurnya jika kita teliti sidang Parlimen yang lepas, isu ‘pembangkang tak move on mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan’ sudah kurang. Pertama mereka telah akur titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan kerajaan ini. Kedua, mereka sedar ‘akhirnya’ tumpuan utama kini adalah untuk membangunkan negara ke arah masa depan lebih baik. Kerajaan Perpaduan giat menggerakkan pelbagai jentera pentadbiran bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang. Ini merupakan tahun kedua pentadbiran dan kami telah mengambil masa mencukupi untuk meneliti serta menangani masalah legasi terdahulu.
Namun seperti kelaziman, pembangkang memainkan peranan mereka dengan membawa isu-isu tertentu. Ada antara mereka yang cekap dan berkesan dalam membangkitkan isu-isu penting di Parlimen, isu di lapangan serta isu rakyat. Ini adalah tindakan yang wajar dihormati dan dipuji. Namun ada juga Ahli Parlimen yang meskipun kelihatan sebagai ‘pembangkang high achiever’, terus memanipulasi isu-isu berkaitan Kerajaan Perpaduan serta kerjasama politik yang dibina untuk memajukan negara. Saya pun pernah berada di kerusi pembangkang dan saya faham ini adalah sebahagian daripada tugas. Namun pada masa sama, saya percaya pembangkang perlu menyokong pelbagai inisiatif yang kerajaan perkenalkan demi kebaikan rakyat yang mengundi mereka.
Bagaimana YB melihat komunikasi dan hubungan antara pemimpin-pemimpin politik di dalam Kerajaan Perpaduan? Masih ada ruang untuk diperbaiki? Maklumlah sejak sekian lama ‘bermusuh’, kini berkawan di dalam satu pasukan.
Dalam konteks nation building, tidak wujud istilah ‘musuh’ dalam kalangan pemimpin politik. Semua Ahli Parlimen ada tujuan yang sama, nak pastikan Malaysia jadi lebih baik. Namun masalah timbul apabila ada pihak menyalahgunakan platform politik untuk menyebar dakyah memecahbelahkan negara, mengkritik institusi diraja dan mempromosikan budaya politik lama yang tak membawa kebaikan. Ini adalah sisa-sisa politik kuno yang patut kita tinggalkan. Dalam Kerajaan Perpaduan, kita sudah capai tahap kematangan yang tinggi demi rakyat dan kemajuan ekonomi negara. Apabila wujudnya kematangan politik, sudah tentu komunikasi dan hubungan antara pemimpin politik akan menjadi lebih baik berbanding politik legasi yang kita cuba jauhi. Menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat bijaksana dalam menguruskan Kabinet. Ruang untuk diperbaiki? Sudah tentu ada. Keharmonian ini bukan sahaja perlu wujud dalam kalangan kami di Kerajaan Perpaduan tetapi perlu disahut oleh rakan-rakan pembangkang. Hakikatnya tiada musuh di sini, hanya rakan-rakan yang ada matlamat sama untuk memajukan negara. Bila nak gaduh? Waktu kempen pilihan raya nanti. In between, we do work for the nation.
Setiap kali sidang Dewan Rakyat, kecoh macam di pasar malam. Ada yang kata seperti dalam zoo. Bagaimana peranan YB mencorak perbahasan yang sihat dalam Dewan Rakyat?
Komen seperti ini memang selalu kita dengar terutama di peringkat akar umbi dan media sosial. Parlimen zoo. Animal farm. Tapi bagi mereka yang mengatakan Dewan Rakyat ini adalah seperti zoo, besar kemungkinan mereka tidak pernah menonton secara langsung siaran Parlimen, sama ada di televisyen atau YouTube. Memang benar apabila ada isu kontroversi atau apabila beberapa Ahli Parlimen tertentu mengambil kesempatan membuat bising, suasana menjadi kecoh dan adakalanya terlalu kecoh. Namun hakikatnya saya boleh anggar kira-kira 80 peratus daripada masa perbahasan di Parlimen melibatkan perbincangan isu-isu kritikal dan teknikal, pembentangan undang-undang serta dialog mengenai dasar-dasar penting. Isu-isu ini mungkin kurang menarik perhatian umum, tetapi ia adalah perkara yang paling signifikan dalam usaha membina negara dan ini sebenarnya adalah tugas utama Ahli Parlimen (bukan sekadar berbahas, tetapi berbahas benda yang baik-baik dan membina).
Mengenai peranan saya dalam mencorak perbahasan yang sihat, saya fikir perbahasan di Parlimen kebanyakannya sudah berada di landasan yang betul. Sepanjang saya berkhidmat sejak 2022, memang ada waktu-waktu di mana suasana sedikit tidak terkawal (saya pun punca juga), tetapi secara keseluruhannya, majoriti daripada kami menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Saya cabar semua untuk tonton sidang akan datang ini secara langsung.
Apa pendapat YB mengenai sikap pembangkang yang berulang-ulang mahukan Perdana Menteri letak jawatan? Ekonomi negara teruk? Keadaan rakyat susah?
Permintaan berulang kali tak jenuh-jenuh daripada pembangkang supaya Perdana Menteri letak jawatan bukanlah sesuatu yang baharu. Apabila wujud ketidakpuasan hati atau tekanan, ‘letak jawatan’ adalah benda pertama yang semua orang jerit. Kita perlu lihat situasi ini dengan lebih rasional, berdasarkan fakta kukuh.
Seperti mana-mana negara, Malaysia turut berdepan cabaran ekonomi global akibat kesan pandemik, ketidakstabilan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. Ini bukan cabaran yang hanya dihadapi oleh negara ini, tetapi seluruh dunia.
Dari segi ekonomi, kerajaan telah lancar Kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan memulihkan ekonomi secara berterusan, mengawal inflasi serta memulihkan industri-industri utama. Walaupun ada cabaran global, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan peningkatan positif.
Selain itu, usaha pengawalan inflasi terutama untuk barangan keperluan seperti makanan, telah berjaya, melalui subsidi, kawalan harga dan sokongan kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran tempatan.
Kita tak boleh nak harapkan semua masalah selesai dalam sekelip mata, tetapi jelas terdapat usaha yang giat untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Masalah legasi pun kita sudah berjaya tangani sedikit demi sedikit. Dalam keadaan ini, peranan pembangkang seharusnya lebih konstruktif, mengkritik dengan cadangan yang membina, bukan mendesak perubahan tak tentu hala tanpa alternatif yang jelas. Apa yang kita perlu sekarang, kestabilan politik supaya negara dapat terus bergerak maju.
Menjelang Belanjawan 2025, apa yang perlu kerajaan perkukuhkan khususnya demi kesejahteraan rakyat dan negara?
Kalau rajin ikut perbahasan saya di Parlimen, saya tidak putus-putus bercakap tentang sistem kesihatan dan kesiapsiagaan kita menghadapi cabaran status negara tua menjelang 2030. Pada saya, ini bukan setakat isu kritikal.
Ini adalah isu tentang masa depan saya sendiri lagi 15 ke 20 tahun akan datang.
Kita kena sedar, golongan ini akan sentiasa ada dalam masyarakat kita dan mereka memerlukan perhatian serta penjagaan yang khusus.
Ekonomi penjagaan ini bukanlah sekadar satu saluran ekonomi, tetapi sebuah ekosistem yang sangat berharga jika diuruskan dengan betul.
Satu lagi isu yang saya angkat adalah kesesakan di klinik-klinik kesihatan. Saya terfikir, adakah ini cara terbaik untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan? Saya percaya kita kena kaji mekanisme lain, seperti menghantar pegawai kesihatan ke rumah pesakit untuk kes-kes yang tidak memerlukan rawatan segera. Warga emas, khususnya, tidak perlu bersusah payah ke klinik, anak tak perlu minta cuti untuk teman, tak perlu lagi buang duit order Grab, tak perlu lagi beratur bersesak-sesak, kita bawa perkhidmatan kesihatan kepada mereka.
Saya rasa sudah tentu golongan B40 dan warga emas perlu difokuskan dalam pembentangan bajet. Saya berharap dalam Belanjawan 2025, kerajaan akan terus memberi perhatian serius kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan. – WILAYAHKU