Selebriti

Anna Jobling tidak sanggup

- Diterbit 26 Mac 2025 6:33 PM MYT

“SAYA tak sanggup, lebih baik beri sahaja watak tersebut kepada pelakon lain yang sanggup buat.”

Demikian jelas Anna Jobling mengenai tawaran produksi di Indonesia yang memerlukannya melakonkan adegan ‘panas’.

Ia baginya amat membuatkan dirinya tidak selesa.

Meskipun namanya semakin dikenali di negara seberang itu, Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, tidak sanggup memperjudikan prinsipnya dan percaya soal rezeki.

“Bila saya baca skrip (drama yang ditawarkan), saya dapati ada babak yang tidak sesuai untuk saya lakonkan. Saya pun tak selesa dengan babak tersebut. Biarpun drama tersebut bertemakan Islamik, tapi ada beberapa babak panas.

“Drama ini untuk platform Over-The-Top (OTT) di Indonesia, tapi saya terpaksa tolak pada saat akhir sebab ada babak yang tak sesuai, malah saya juga tak selesa untuk melakonkannya.

“Jadi, mereka pun tak ambil saya untuk teruskan. Saya tak selesa untuk buat babak panas walaupun cerita ini berunsur Islamik.

“Bagi saya, babak diminta dilakonkan lebih daripada apa yang kita boleh terima sebagai orang Malaysia. Selepas tahu, sudah tentu saya tolak sebab tak selesa,” katanya.

Walaupun tidak dapat menjayakan projek tersebut, pelakon drama Honey Minta Maaf menafikan rasa terkilan kerana prinsip yang dipegang sentiasa menjadi keutamaan.

Malah, Anna turut menyatakan bahawa dia tetap berpegang teguh dengan pendiriannya meskipun menerima tawaran yang lumayan.

“Mereka boleh cari pelakon lain yang mahu bawa watak ini. Bagi saya, mungkin ada rezeki lain. Kalau tak dapat buat cerita ini, ada lagi rezeki lain di Malaysia.

“Itu bukan situasi sukar pun sebenarnya, saya fikir hanya bukan rezeki. Mereka sudah ‘lock’ saya awal, tapi ketika itu, skrip sedang disiapkan,” katanya.

Anna turut menegaskan bahawa setiap kali dia menerima tawaran berlakon di luar negara, dia meletakkan syarat yang ketat terutama dalam aspek pemakaian dan adegan yang perlu dilakonkan.

“Kalau jalani penggambaran di sana (Indonesia) memang saya ada tetapkan syarat seperti pakaian dan apa yang tidak boleh dilakukan.

“Mengenai pakaian saya beritahu tak boleh pakai bikini, hanya yang sopan dan tak terlalu nampak ‘daring’.

“Pakaian kebiasaan saya pun tidak begitu, jadi untuk pakai masuk ke set tentulah saya tak selesa. Kalau setuju mereka akan ambil, kalau tak ambil tak mengapalah,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas