Selebriti

Anna Jobling siap siaga

- Diterbit 24 November 2023 1:25 AM MYT

ANNA Jobling antara yang beruntung. Ketika tidak ramai anak seni tempatan mampu menembusi pasaran industri seni negara seberang, nasib pelakon jelita ini sebaliknya. Bakatnya turut diperhatikan karyawan di sana dan mempercayainya untuk memegang watak utama dalam drama bersiri The One terbitan Over The Top (OTT), MNC TV Indonesia.

Mula menjadi perhatian selepas membintangi drama bersiri Melur Untuk Firdaus bersama Meerqeen, pelakon jelita ini tidak menyangka bakatnya dilihat oleh produksi Indonesia selepas drama tersebut tular di media sosial.

“Beberapa kali saya terpaksa menolak tawaran produksi negara itu sebelum ini kerana pertindihan jadual namun akhirnya impian saya jadi kenyataan. Malah, saya bersyukur kerana diberi peranan sebagai teraju utama.

“Dalam masa yang sama, saya juga gembira membintangi naskhah terbitan produksi tersebut kerana waktu pengambaran dan juga watak yang diberikan bersesuaian.

“Namun begitu, dalam gembira ada juga rasa takut apabila saya perlu mempersiapkan diri untuk mendalami bahasa dan dialek Indonesia. Mujurlah pihak produksi di sana banyak membantu,” ujarnya teruja apabila pelakon kegemarannya, Pevita Pearce juga merupakan salah seorang daripada pengarah drama tersebut.

Berkongsi lanjut tentang perkembangan kariernya, selebriti berusia 23 tahun ini sekali lagi memanjatkan kesyukuran apabila dia sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjayakan filem bergenre seram yang diarahkan oleh Baim Wong dan Ruben Adrian.

“Alhamdulillah rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya dapat bekerjasama dengan nama-nama besar yang tak asing lagi dalam industri hiburan negara jiran. Sekarang saya sedang menjalani pengambaran selama sebulan di Jogja, Indonesia. Insya-Allah ia bakal disiarkan pada pertengahan tahun depan.

“Filem ini membawa genre seram di mana kita semua tahu naskhah berkonsep seperti itu dari negara tersebut semuanya hebat belaka,” ujarnya kepada Wilayahku.

Biarpun masih baru dalam bidang seni, namun pemenang trofi BBNU Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 tahun lalu itu tidak putus menerima tawaran lakonan.

Memiliki pakej lengkap sebagai pelakon, Anna bagaimanapun menolak tanggapan luar bahawa rupa paras merupakan faktor utama dia meraih populariti luar biasa dalam karier seni.

Menurutnya rupa paras yang jelita bukanlah jaminan seseorang artis itu kekal dalam industri dan dalam masa yang sama menggunakannya sebagai tiket untuk bertahan lama.

“Persoalan ini bukan isu baharu dalam industri tanah air. Ia menjadi bualan sejak dahulu lagi. Bezanya, dahulu tiada media sosial, jadi isu ini tidaklah begitu menonjol untuk dibicarakan.

“Bagi saya kecantikan adalah subjektif kerana dalaman lebih penting dari luaran yang kita semua tahu tidak akan kekal lama. Saya sedar, mungkin orang lebih melihat kecantikan itu secara luaran tetapi ketahuilah dalaman itu lebih utama yang akan terpancar ke luar.

“Mungkin apa yang saya cakap ini nampak klise, tapi itulah hakikatnya. Cantik dalaman itu akan kekal. Kalau ada sikap terpuji, karakter baik, secara automatik akan menjadikan seseorang itu menarik,” ujar pemilik nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman ini.

Bakat penting untuk kekal dalam industri

Bagi calon tunggal dari Malaysia yang tersenarai dalam 100 Wajah Tercantik 2022 (100 Most Beautiful Faces of 2022) oleh TC Candler ini, rupa paras dan bakat itu perlulah berjalan seiring apabila menjadi selebriti.

“Bagi saya, kalau cantik, tapi tidak berbakat, agak sukar untuk kekal dan bersaing dalam industri ini. Jika mempunyai bakat besar dan rajin memperbaiki kelemahan diri, pasti kehadiran kita akan mewarnai industri. Lihat sahaja ramai artis veteran yang kekal diminati sehingga ke hari ini.

“Mereka tidak hanya bersandarkan kepada keindahan fizikal semata-mata tetapi sebaliknya membuktikan mereka benar-benar anak seni yang hadir dengan kehebatan bakat sebagai taruhan.

“Pokok pangkalnya adalah bakat. Kalau cantik, tapi tidak berusaha untuk menggilap bakat dan memperbaiki kelemahan diri, susah juga nak berkembang. Pun begitu, ia ditambah dengan usaha dan sudah semestinya rezeki.

“Kerja keras itu paling utama, saya sendiri sudah mula membina kerjaya seawal usia belasan tahun lagi,” ujarnya yang sudah menghiasi iklan komersial televisyen dan majalah ketika berumur 15 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas