PENGANJURAN program berskala kecil dan besar yang diadakan secara berterusan di pulau bebas cukai ini menjadi satu anjakan paradigma kepada para usahawan khususnya peniaga kecil dalam meningkatkan hasil pendapatan serta memacu sosioekonomi setempat.
Dengan penganjuran program dan festival yang berprestij seperti Borneo Art Festival (BAF) dan Labuan International Sea Challenge (LISC) yang menjadi festival tahunan telah terbukti memberikan kesan positif kepada ekonomi Labuan.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, pihaknya sentiasa memberikan penekanan penting dalam usaha untuk menarik pengunjung luar ke Labuan dengan melaksanakan penganjuran program dan festival yang dapat membantu meningkatkan serta mempromosikan Labuan.
Katanya, Labuan kini mempunyai festival bertaraf antarabangsa yang menjadi program tahunan yang telah berjaya mencatatkan peningkatan pengunjung dalam dan luar negara ke pulau ini.
“Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan penganjuran Borneo Floral Festival yang bakal diadakan pada Julai ini sudah tentunya menjadi satu nilai tambah kepada Labuan.
“Dengan penganjuran tersebut, kami melihat ia akan merancakkan lagi ekonomi di pulau ini terutamanya kepada usahawan dan peniaga kecil yang memerlukan satu medium seperti penganjuran program bagi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Simsudin memaklumkan pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak kerajaan dan swasta untuk bekerjasama dalam melaksanakan sebarang perancangan yang memberi manfaat kepada usahawan dan masyarakat pulau ini.
“Ya, saya telah berbincang dengan pelbagai pihak yang mencadangkan beberapa program untuk dianjurkan sepanjang tahun ini. Bagaimanapun setiap cadangan yang dibawa harus dipertimbangkan terlebih dahulu mengikut peringkat yang sesuai. Jika cadangan itu diluluskan, maka kami akan laksanakannya,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga makanan manisan, Fahrisya Adreana Sarmawan menyeru pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta swasta untuk menggandakan lagi penganjuran program dan festival di Labuan kerana mampu menjadi platform kepada usahawan untuk mempromosikan perniagaan.
“Secara amnya, saya baharu sahaja menjadi usahawan yang mengetengahkan makanan pencuci mulut secara vendor dan antara platform saya untuk berniaga hanyalah menyertai kios yang disewakan menerusi penganjuran program dan festival yang diadakan.
“Selain itu, penglibatan saya dalam berniaga di tapak-tapak program atau festival ini memberikan keuntungan kepada saya kerana ia menjadi lokasi tumpuan orang ramai.
“Penganjuran program dan festival sama ada berskala kecil atau besar-besaran di Labuan perlu ditingkatkan lagi demi merancakkan ekonomi tempatan selain mempromosikan nama Labuan kepada pengunjung luar,” katanya. – WILAYAHKU