ANJUNG Syawal Putrajaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung menjelang minggu kedua Ramadan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata, Anjung Syawal akan menjadi lebih meriah ketika tibanya hujung minggu.
“Saya mendapat maklum balas positif daripada para peniaga, salah seorangnya melabur RM100, 000 dan dia telah pun mendapat pulangan hampir separuh daripada jumlah amaun itu.
“Insya-Allah baki lagi dua minggu ini saya jangkakan lebih ramai lagi pengunjung terutamanya selepas gaji,” ujar beliau memberi respons terhadap sambutan Anjung Syawal Putrajaya tahun ini.
Tambahnya lagi, rata-rata peniaga yang ditemui sangat berpuas hati dan tidak sabar untuk berniaga lagi pada tahun hadapan.
“Mereka turut meminta kami untuk memperbesarkan lagi ruang Anjung Syawal akan datang,” ujar beliau.

Ditanya tentang saingan peniaga bazar yang dikatakan terjejas dengan peniaga dalam talian, Fadlun berkata, rata-rata peniaga Anjung Syawal yang ditemui turut berniaga secara dalam talian.
“Tiada istilah bersaing dengan peniaga dalam talian sebab mereka ini juga turut berniaga online, saya lihat mereka turut mengadakan sesi penjualan secara langsung (live selling) di reruai,” ujar beliau.
Terdahulu, Anjung Syawal Putrajaya yang bermula hujung Februari lalu dijadualkan berlangsung selama 33 hari di Dataran Putrajaya. – WILAYAHKU