Berita

Aniq sasar angkatan 305kg di Olimpik 2024

MOHAMAD ANIQ mengintai kilauan pingat di Olimpik Paris 2024
- Diterbit 29 Julai 2024 4:36 PM MYT

ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menyasarkan untuk melakukan angkatan 305 kilogram (kg) dalam kategori 61kg yang disertainya untuk memburu pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya 26 Julai ini.

Badang berusia 22 tahun yang membuat penampilan sulungnya di temasya berkenaan berkata setakat ini, dia sudah berhasil membuat angkatan seberat 302kg dan hanya memerlukan beberapa sentuhan akhir bagi merealisasikan impiannya itu.

Dia bagaimanapun berkata perlu berdepan beberapa saingan sengit antaranya pencabar dari Thailand dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menaiki podium bagi acara angkat berat yang akan berlangsung pada 7 Ogos di South Paris Arena.

“Walaupun sedar persaingan pasti sengit namun saya tetap optimis. Perbezaan antara saya dan pesaing memang sengit, hanya beza beberapa kilogram sahaja. Jadi saya kena berusaha sedaya upaya di Paris nanti dan cuba buat angkatan lebih berat untuk hadirkan kilauan pingat, namun bergantung juga pada prestasi pencabar lain.

“Thailand dan AS merupakan antara pencabar utama dan mereka lebih muda daripada saya. Majoriti yang ke Olimpik ini ramai dari Asia Tenggara, jadi saya memang selalu jumpa mereka dan sudah tahu mereka memang  merupakan pencabar sengit.

“Saya layak ke Olimpik sebelum ini dengan angkatan 296kg. Mereka ada yang lakukan angkatan 299kg dan 300kg iaitu beza dua hingga empat kilogram. Jadi hari kejohanan itulah yang paling penting untuk menentukan siapa boleh.

“Saya telah meningkatkan intensiti latihan. Jika sebelum ini hanya 80 peratus berat dan buat lebih banyak set, kini saya dah tingkatkan bebanan ke 90 hingga 95 peratus. Kita juga ada buat latihan simulasi seperti pertandingan sebenar pada setiap minggu yang menunjukkan peningkatan melepasi rekod terdahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad Aniq berlepas ke Antalya, Turkiye bagi menjalani kem latihan terakhir sebelum beraksi di temasya sukan berprestij di Paris bersama jurulatihnya, Edmund Yeo.

“Pecutan akhir di Turkiye sangat penting sebagai persediaan buat  saya membiasakan diri dari segi iklim.

“Persiapan di Turkiye lebih kepada penyesuaian diri dari segi cuaca dan sebagainya sebab ia juga dekat dengan Paris, saya tak mahu ada gangguan ritma,” ujar atlet kelahiran Johor itu.

Mohamad Aniq berada di Antalya, Turkiye untuk kem latihan selama dua minggu bagi membiasakan diri dengan perbezaan masa dan cuaca di Eropah sebelum tiba di Paris pada 3 Ogos untuk latihan rasmi di venue pertandingan.

Malaysia tidak pernah memenangi pingat Olimpik bagi sukan angkat berat manakala badang terakhir negara beraksi di pentas Olimpik ialah Mohd Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam kategori 69kg. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas