Berita

Aniq Kasdan gondol dua pingat perak di Bahrain

- Diterbit 9 Disember 2024 10:45 AM MYT

BADANG negara, Mohamad Aniq Kasdan sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mengakhiri Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa dengan membawa pulang dua pingat perak di Manama, Bahrain.

Atlet berusia 22 tahun yang bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg) lelaki itu menduduki tempat keempat dalam acara snatch dengan angkatan 130kg. Pingat emas dimenangi atlet Korea Utara, Pak Myong Jin (132kg), manakala pingat perak dan gangsa masing-masing diraih atlet Vietnam, Tran An Tuan (131kg), dan atlet Armenia, Garnik Cholakyan (131kg).

Seterusnya, atlet kelahiran Johor itu bangkit dalam acara clean & jerk dengan angkatan 166kg untuk meraih perak, di belakang Myong Jin (173kg) yang meraih emas. Gangsa dimenangi atlet China, Wei Haixian (160kg).

Angkatan keseluruhan Mohamad Aniq seberat 296kg, memastikan pingat perak keseluruhan menjadi miliknya. Myong Jin memenangi emas dengan angkatan keseluruhan 305kg, manakala Tran An Tuan membawa pulang gangsa dengan 291kg. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas