FESTIVAL Animasi (ANIFEST) 2024 edisi kelapan bakal diadakan pada 26 dan 27 Oktober depan di KL Gateway Mall.
Acara tahunan itu dijangka menarik ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang seni dan budaya untuk menyaksikan pelbagai pengisian menarik.
Pengerusi ANIFEST Malaysia, Mohd Zahir Zainal Abidin, berkata berbeza daripada edisi sebelumnya, kali ini ANIFEST 2004 meraikan pelbagai cabang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seni kreatif termasuk komik, animasi, seni doodle, serta seni kraf.
“Kali ini kami memperkenalkan penerokaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan karya seni yang membuka ruang kepada generasi baru untuk meneroka kemungkinan tanpa batasan dalam dunia seni kreatif.
“ANIFEST 2024 adalah platform yang ideal bagi pengunjung untuk menikmati, menghargai, dan menyelami lebih dalam tentang dunia seni kreatif tempatan dan antarabangsa.
“Program menarik seperti pameran seni, bengkel kreatif, sesi panel bersama penggiat seni terkenal, dan persembahan langsung menanti pengunjung sepanjang dua hari. Acara ini bukan saja memberi peluang kepada seniman untuk memperkenalkan karya mereka kepada umum, tetapi juga menjadi ruang untuk komuniti seni berkumpul, berinteraksi, dan bertukar pandangan selain meneroka jaringan baharu industri,” katanya.
ANIFEST 2024 dianjurkan Persatuan Festival Seni Kreatif & TVET Malaysia (ANIFEST), turut mendapat sokongan penuh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Content Forum (CMCF), yang menekankan komitmen untuk memajukan dan menyokong pembangunan industri seni kreatif tempatan.
Acara ini dibuka secara percuma kepada semua pengunjung dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang.ANIFEST 2024 bukan sekadar festival, tetapi satu pergerakan yang mengangkat dan memartabatkan seni dalam semua bentuk dan manifestasinya yang unik dan tersendiri. – WILAYAHKU