Berita

Angkat sejarah warisan

SEKITAR kunjungan Pertubuhan Kadazan Sabah ke Muzium Negara baru-baru ini.
- Diterbit 27 September 2024 4:28 PM MYT

SEBANYAK 468 koleksi diterima Jabatan Muzium Malaysia dari tahun 2020 hingga 2024 sejak Kempen Derma Koleksi dilancarkan pada 7 Disember 2021.

Jabatan Muzium Malaysia berkata kempen tersebut bertujuan untuk melindungi dan melestari khazanah warisan negara melalui sumbangan koleksi peribadi masyarakat yang bernilai dari sudut sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada pihaknya.

“Kita telah menerima seramai 31 orang penderma yang terdiri  daripada pelbagai klasifikasi koleksi seperti sampul surat, permainan dan hiburan, mata wang, alat perusahaan, senjata, pakaian dan perhiasan diri.

“Penderma koleksi akan menerima tiga jenis manfaat antaranya ialah sijil dan surat penghargaan sebagai menghargai sumbangan kepada bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Justeru, satu Majlis Derma Koleksi Set Tagung Kadazan telah diadakan bagi menghargai sumbangan koleksi oleh Pertubuhan Kadazan Sabah (Kadazan Society Sabah) kepada Jabatan Muzium Malaysia.

“Kita telah menerima sumbangan Koleksi Set Tagung Kadazan daripada Pertubuhan Kadazan Sabah yang terdiri daripada lapan koleksi seperti set tagung, gendang dan satu set kulintangan.

“Set Tagung Kadazan yang berusia lebih 100 tahun ini merupakan koleksi asal milik Datuk Seri Panglima Marcel Leiking yang merupakan Presiden Pertubuhan Kadazan Sabah.

“Ia  diperbuat di Brunei semasa North Borneo (Sabah) dikuasai oleh Kesultanan Brunei sekitar 1700-an di mana ia dibawa oleh peniaga dari Brunei ke pesisir Pantai North Borneo dan kemudian dibawa ke kawasan pedalaman,” ujarnya.

Tambahnya, Majlis Penyerahan Tagung Kadazan itu turut dihadiri oleh Presiden Pertubuhan Kadazan Sabah, Datuk Seri Panglima Marcel Leiking; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Mohamad Shawali Badi; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat; Setiausaha Agung Pertubuhan Kadazan Sabah, Batholomew Jingulam dan Ketua Penolong Pengarah (Unit Kemiskinan), Kementerian Ekonomi merangkap Bendahari Agung Pertubuhan Kadazan Sabah, Humfrey J Suimin.

Terdahulu, Majlis Derma Koleksi Set Tagung Kadazan telah diadakan pada 20 September 2024 bertempat di Ruang Tengah, Pameran Raja Kita, Jabatan Muzium Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas