Berita

Angkat nasib peniaga kecil

LESTARI Niaga MADANI Labuan kini dibuka secara rasmi.
- Diterbit 31 Disember 2024 3:04 PM MYT

INISIATIF Program Lestari Niaga MADANI mencerminkan usaha kerajaan dalam mengangkat nasib golongan peniaga kecil di pulau ini dan bakal menjadi salah satu lokasi tarikan pengunjung luar dan tempatan.

Menurut Perbadanan Labuan (PL) dalam satu kenyataan baru-baru ini, pelaksanaan menaik taraf bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Siswazah Corner itu telah menelan peruntukan sejumlah RM1.2 juta yang mula dilaksanakan pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya pada pertengahan November lalu.

Katanya, penambahbaikan yang dilaksanakan pada Lestari Niaga MADANI mengetengahkan wajah baharu yang lebih selesa dengan kelengkapan asas yang lebih baik antaranya struktur bangunan berbumbung.

“Lestari Niaga MADANI Labuan kini dibuka secara rasmi sebagai destinasi baharu untuk menjamu selera, terletak strategik di sebelah Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Dengan enam lot perniagaan yang menyediakan pelbagai pilihan makanan dan minuman, lokasi ini menjadi daya tarikan istimewa buat penduduk tempatan dan pelawat dari luar.

“Lebih daripada sekadar pusat makanan, Lestari Niaga MADANI adalah salah satu platform yang penting untuk menyokong usahawan tempatan. Inisiatif ini selaras dengan agenda kerajaan yang mahu memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat.

“Inisiatif ini sudah tentunya membuka peluang kepada usahawan untuk berkembang maju dan memperkenalkan keunikan produk mereka kepada masyarakat yang lebih luas,” kata kenyataaan itu.

Tambahnya, pihaknya kini sedang merangka pelbagai perancangan untuk mempromosikan seterusnya menjadikan Lestari Niaga MADANI yang terletak di bandar utama itu menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong luar.

Sementara itu, bagi seorang peniaga kuih-muih, Naziana Zulkifli, memaklumkan beliau rasa bersyukur kerana diberikan peluang oleh pihak PL untuk berniaga di Lestari Niaga MADANI.

“Sebelum ini, saya berniaga dari rumah sahaja dan adakalanya mengikuti program-program jualan dan sudah tentunya menjadi satu impian saya juga untuk memiliki satu lokasi tetap bagi mengembangkan lagi perniagaan saya ini.

“Saya amat bersyukur kerana PL menawarkan saya ruang di Lestari Niaga MADANI dan bagi saya ini merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana lokasi di sini amat strategik,” katanya.

Bagi peniaga makanan Gerai no 6, Mohd Faizal Rajinun, yang telah berniaga di bangunan itu yang dahulunya dikenali Siswazah Corner sejak 2016, menyifatkan inisiatif Program Lestari Niaga MADANI yang dilaksanakan oleh kerajaan memberikan satu nafas baharu kepada tempat tersebut.

“Alhamdulillah, sejak bangunan baharu ini telah dibuka saya mengakui ia amat selesa dan amat jauh lebih baik berbanding sebelum ini kerana bangunan baharu ini mempunyai bumbung, meja dan struktur bangunan yang lebih menarik,” ujarnya.

Peniaga Nachos Loaded, Zamrul Akmar Mohd Roslan melahirkan kekaguman pihak kerajaan menerusi PL atas usaha murni memajukan lagi pembangunan Labuan sekaligus memberikan manfaat kepada peniaga dan komuniti di sini.

“Saya rasa tempat ini akan menjadi salah satu lokasi tarikan pengunjung sama ada tempatan atau luar untuk mendapatkan menu yang lazat sambil menikmati pemandangan laut di waktu malam. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas