Berita

Angkat kisah benar pemuda diperdaya kerana dadah… Donnie Yen cari keadilan menerusi The Prosecutor

- Diterbit 6 Disember 2024 7:57 PM MYT

MENGANGKAT kisah sebenar seorang pemuda miskin yang diperdaya kerana dadah, bintang lagenda Hong Kong, Donnie Yen kembali ke layar perak dengan filem terbaharunya , The Prosecutor.

Menerusi filem yang diinspirasikan daripada kisah realiti hidup, Donnie tidak hanya tampil dengan aksi mendebarkan, malah selama beberapa bulan, Donnie mengkaji dengan  mendalam wataknya untuk mendapatkan penyampaian emosi yang sebenar.

“Saya faham bahawa penonton sering kali mencari genre aksi yang lain dalam filem saya. Namun, cabaran sebenar adalah bagaimana cara menggabungkan elemen aksi komersial dengan naratif yang membawa makna besar dalam karya filem itu.

“Proses ini memerlukan penelitian yang mendalam agar penyampaian yang saya bawa itu  menyentuh hati penonton,” katanya.

Filem The Prosecuter mengisahkan tentang seorang lelaki muda miskin dituduh secara tidak adil atas kesalahan pengedaran dadah selepas diperdaya.

Donnie ditemubual pada sidang media khas secara atas talian baru-baru ini pada majlis gala filem The Prosecuter di Hong Kong.

Bertindak juga sebagai pengarah, dan penerbit, The Prosecutor diinspirasikan daripada kisah sebenar dan mengambil masa satu setengah tahun untuk menyiapkan keseluruhan produksi.

“Kehadiran saya bukan hanya di hadapan kamera, saya juga terlibat secara langsung dalam setiap aspek produksi.

“Ini adalah cara bagi saya untuk memastikan bahawa semua standard kualiti diikuti dan kekuatan naratif dipelihara. Saya percaya ini adalah tanggungjawab seorang pelakon yang komited.

“Saya juga berusaha untuk menghormati kisah yang diangkat dan cuba tidak menukar jalan cerita yang tersedia ada. Walaupun ia bukan sebuah dokumentari, saya berharap penonton akan merasakan keaslian dalam setiap babak yang dipaparkan,” jelasnya.

ANTARA babak menarik dalam filem The Prosecutor

Meskipun berada dalam bidang seni perfileman selama lebih 42 tahun, Donnie menunjukkan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus beraksi dengan cemerlang.

Kekuatan fizikal dan stamina yang dimiliki adalah hasil daripada dedikasi yang tidak berbelah bagi terhadap seni mempertahankan diri dan latihan yang berterusan.

“Walaupun ada kalanya saya berasa letih, namun cinta terhadap kerja ini membakar semangat saya. Saya ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa semangat tidak mengenal usia,” ujarnya.

Sementara itu, dalam menghadapi cabaran industri perfileman yang semakin kompetitif, Donnie menekankan pentingnya menjadi seorang pelakon yang proaktif.

Beliau memuji usaha pelakon-pelakon terkenal Hollywood seperti Tom Cruise dan Brad Pitt yang turut terlibat dalam penerbitan.

“Mereka memberikan contoh yang bagus tentang betapa pentingnya pelakon untuk mengambil inisiatif dalam setiap produksi. Dengan cara ini, kita dapat berusaha untuk memastikan setiap elemen filem berkualiti tinggi,” katanya.

 

Filem The Prosecuter mengisahkan tentang seorang lelaki muda miskin dituduh secara tidak adil atas kesalahan pengedaran dadah selepas diperdaya. Seorang bekas pendakwa raya menyiasat kes tersebut dan mendedahkan terdapat rancangan sekumpulan peguam yang korup, dan dia mengembalikan keadilan walaupun menghadapi pelbagai halangan.

Selain lakonan Donnie sebagai Fok Zi Hou, filem ini menampilkan lebih daripada 20 pelakon berbakat yang antaranya seperti Julian Cheung, Michael Hui, Francis Ng, Pak Hon Chu dan Kent Cheng.

“Dengan pasukan yang hebat ini, saya yakin kami mempunyai potensi untuk meraih kejayaan besar. Saya berharap penonton akan merasai kesungguhan dan usaha yang telah kami curahkan dalam menghasilkan The Prosecutor.

“Kami telah berusaha keras untuk menghasilkan filem ini. Saya tidak sabar menantikan respons semua orang. Saya berharap The Prosecutor dapat memberi inspirasi dan menghiburkan penonton dengan cara yang berbeza,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas