Artikel

Angka sahaja tidak cukup

ANWAR sentiasa turun padang meninjau keadaan rakyat. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Januari 2024 3:00 PM MYT

Oleh ZUKIFLI SULONG

DALAM ucapan sempena menyambut Tahun Baru 2024 kelmarin, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dalam tahun kedua pentadbiran beliau.

Bagi beliau, walaupun sepanjang tahun 2023, Malaysia mendapat angka-angka yang baik dalam pembangunan ekonomi Malaysia tetapi ia tidak berguna kalau tidak dirasai oleh rakyat.

Dalam ucapan itu, Anwar turut menegaskan kerajaan beliau akan memberikan tumpuan utama kepada mengekang kos sara hidup agar memberikan kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Walaupun pertumbuhan negara kekal empat peratus dan inflasi di bawah dua peratus, beliau mahu ia bukan sekadar angka sahaja tetapi rakyat keseluruhannya perlu merasainya dengan jelas.

Dua hari selepas itu, PM Anwar melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah membabitkan warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Sistem data ini bertujuan untuk memastikan bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan selepas ini sampai kepada orang yang tepat berdasarkan keperluan mereka.

Dalam keluaran yang lepas, Wilayahku melaporkan tentang jenis apakah Kerajaan Madani ini. Kerajaan Madani ini adalah Kerajaan Bekerja.

Ia dinamakan Kerajaan Bekerja kerana sememangnya kerajaan ini menjalankan kerja mereka untuk rakyat bukannya kerajaan yang cuba untuk mempertahankan kedudukan mereka sahaja.

Contoh paling nyata adalah bekalan telur dan ayam. Sebelum kerajaan ini mengambil alih pentadbiran negara, rakyat berhadapan dengan masalah telur dan ayam yang tidak ada di pasaran.

Dengan beberapa pendekatan yang dibuat oleh kerajaan, tiba-tiba masalah telur dan daging ayam bukan lagi masalah kepada rakyat negara ini.

Bukan itu sahaja, kerajaan yang ada juga berjaya menyelesaikan masalah beras yang naik harga ekoran kenaikan harga beras import secara mendadak di pasaran.

Projek padi ala Sekinchan yang dijalankan kerajaan di jelapang padi negara iaitu di kawasan Mada di­ utara dan Kada di pantai timur mula menunjukkan hasilnya.

Sekarang ini, kerajaan dengan kerjasama badan-badan penyelidik termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang membuat kajian dan perancangan terperinci untuk mengeluarkan baka ayam daging dan telur sendiri dengan kerjasama dari Indonesia.

Selepas projek ini berjaya dan berjalan lancar nanti, Malaysia akan menjadi pengeluar ayam dan telur yang boleh membanggakan negara.

Semua ini berlaku kerana kerajaan yang ada mengutamakan kestabilan kerajaan dan bekerja ke arah itu. Dengan sokongan melebihi dua pertiga, sukar untuk Kerajaan Perpaduan ini digugat.

Walaupun percubaan demi percubaan dibuat untuk menebuk atap sekali lagi, selepas Langkah Sheraton 2020 lalu, nampaknya ia tidak berhasil.

Langkah Dubai yang cuba dibuat baru-baru ini sudah nampak ketara gagal. Gagal kerana semua pihak mempunyai kata sepakat, dengan kestabilan kerajaan sahaja, negara kita akan berjaya.

UMNO sendiri mempunyai mekanisme yang tegas dalam membendung gejala ini. Dengan surat kuasa yang diberikan kepada Presiden UMNO menjelang pilihan raya ke-15 lalu, tidak akan ada mana-mana Ahli Parlimen (MP) UMNO yang sedia untuk melompat parti atau beralih arah.

Pemimpin dari Sabah dan Sarawak juga bertegas, mereka akan mempastikan kerajaan yang ada stabil dan kekal sehingga habis penggalnya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg hairan kerana turut dikaitkan dengan Langkah Dubai bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan apabila namanya secara tidak langsung disebut kononnya sebagai bakal Perdana Menteri.

Beliau menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya hanya mempunyai 23 kerusi di Parlimen dan beliau tidak berminat untuk menerima jawatan Perdana Menteri hanya kerana mahu menyertai pakatan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Apa hal pula nama saya turut dimasuk dalam Langkah Dubai itu (kononnya) nak jadi Perdana Menteri…adakah patut?

“Saya memang terkejut apabila mereka sebut itu.

“Kita (GPS) sukat baju di badan sendiri, kalau sukatan seperti sekarang kita ikut sukatan itulah kerana GPS hanya ada 23 kerusi (Parlimen), (kita tidak mahu) nanti apabila kita naik (jadi Perdana Menteri) mereka tekan kita pula, sebab itu saya kata, kita bukan paloi (bodoh),” katanya.

Jelasnya, langkah GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang berjaya menstabilkan politik negara dan dengan berkat kestabilan itu, Sarawak kini meraih hasilnya apabila ekonomi semakin kukuh.

“Sebab itu GPS mengutamakan kestabilan Kerajaan Malaysia kerana kita perlu bersaing dengan negara jiran yang lain (dalam mengukuhkan ekonomi).

“Kalau (politik) Malaysia kelam kabut, siapa yang hendak membawa duit (melabur) di negara kita dan jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan (untuk rakyat) juga kurang,” tambahnya lagi.

Itu sikap rasmi Sarawak.

Sabah pun hampir sama. Selepas Ketua Menteri Hajiji Nor menyokong Anwar, kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan MP Bersatu di Sabah goyah.

Menurut sumber, kata Berita Harian, 14 ADUN BERSATU di Sabah termasuk dua ADUN dilantik, serta empat Ahli Parlimennya perlu meninggalkan parti itu dan menjadi ahli langsung GRS supaya tidak timbul lagi persoalan mengenai kedudukan mereka.

GRS yang didaftarkan sebagai sebuah entiti politik baharu di Sabah pada awal tahun ini, dikata membenarkan keahlian terus, selain komponen parti untuk menjadi ahlinya.

Setiausaha Agung GRS yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan sebuah portal berita, sebagai berkata khabar angin mengaitkan mereka dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) adalah tidak benar, sebaliknya beliau meminta diberi tempoh beberapa hari lagi berhubung keahlian terus dalam GRS.

Marilah kita bersama-sama bertekad di awal tahun baharu ini untuk memberikan peluang sepenuhnya kepada kerajaan yang ada untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Penulis adalah penganalisis politik yang mengenal siapa kerajaan yang ada dan siapa pembangkang sekarang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas