ANGGOTA kumpulan Exists teruja dapat menunaikan umrah bersama-sama setelah lebih tiga dekad bergerak sebagai sebuah kumpulan.
Exists yang dianggotai Ezad Lazim (vokalis), Along atau Azhrul Nasir (gitar utama), Musa Radhi (bass), Ujang atau Saharudin Saniman (dram) dan Ajai @ Mohd Faizal Maas (keyboard) bakal menunaikan umrah bersama syarikat Darmina Revolution, melalui program Umrah Langkah Seiringan Exists pada 22 Januari hingga 2 Februari tahun depan.
Pelawaan itu umpama bulan jatuh ke riba buat anggota Exists kerana tidak menyangka impian untuk menunaikan umrah dimakbulkan Allah.
Vokalis Exist, Ezad berkata biarpun pernah menunaikan umrah sebelum ini, tetapi dapat menjejakkan kaki bersama teman-teman seperjuangan yang sudah dianggap seperti keluarganya sendiri adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali.
“Semua orang menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah. Alhamdulillah,tahun lalu saya berkesempatan menunaikan umrah bersama isteri, anak-anak dan mentua.
“Tak sangka masih ada lagi peluang untuk ke sana dan kali ini bersama-sama anggota Exists, sudah pasti suasananya berbeza. Kiranya kali ini lebih istimewa, ibarat pergi dengan adik-beradik kerana kami semua sudah lama mengenali satu sama lain.
“Tak sangka tiba-tiba Allah bukakan rezeki untuk kami pergi umrah bersama-sama. Saya rasa gembira dengan peluang ini walaupun pernah pergi, anggota Exists yang lain tak pernah pergi lagi. Jadi bila mereka semua teruja untuk pergi, ini adalah rezeki untuk kami.
“Ini juga salah satu peluang yang baik dan rezeki Tuhan nak bagi, tiada siapa yang tahu. Di samping itu juga, Exists mengalu-alukan peminat untuk menunaikan umrah bersama kami,” kata Ezad.
Bagi Musa pula, selama ini dia hanya membaca Sirah Nabi sahaja dan kini berpeluang untuk menziarah lokasi peninggalan Rasulullah SAW.
“Perasaan saya amat senang sekali apabila diberitahu yang kami berpeluang untuk mengerjakan umrah. Berita gembira itu kami terima sekitar dua bulan lalu.
“Saya tidak pernah mengejarkan umrah dan hanya membaca sirah Nabi SAW sahaja. Melalui bacaan pun air mata saya boleh gugur, inikan pula dapat menziarahi tempat bersejarah itu.
“Sudah pasti ini adalah peluang yang terindah buat saya kerana dapat menjejak kaki ke sana dan menziarahi makam dan tinggalan Rasulullah SAW. Lebih indah lagi kerana saya akan pergi ke sana
dengan band Exists, terima kasih atas rezeki ini. Cuma saya mohon, dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menikmati peluang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ajai turut melahirkan rasa teruja dan terharu kerana mendapat jemputan untuk menjadi tetamu Allah.
“Sesungguhnya saya sangat teruja dan terharu berpeluang menjejak kaki ke Tanah Suci. Terima kasih kepada Darmina Revolution atas peluang ini.
“Tak duga kami ditakdirkan akan bersama-sama ke Kota Makkah, insya-Allah. Semoga Allah permudahkan segala urusan kami dari mula hinggalah ke akhir ibadah,” katanya.
Pakej umrah bersama Exists bermula serendah RM8,500 (bilik berempat), RM9,100 (bilik bertiga) dan RM9,500 (bilik berdua). – WILAYAHKU