Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Anfaal mahu jaga kelestarian alam

- Diterbit 28 Jun 2024 9:50 AM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Yang Berhormat (YB), Anfaal Saari terus menabur bakti membantu rakyat terutamanya di kawasan Taman Templer.

Biarpun berdepan cabaran, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat beliau untuk memberi perkhidmatan terbaik demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai ADUN Taman Templer, YB Anfaal Saari juga memegang portfolio Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor berpeluang mendengar segala pengalaman sepanjang perkhidmatan beliau.

Apakah kejayaan yang telah YB lakar sepanjang bergelar wakil rakyat di kawasan Templer?

Sejak menerima mandat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan daripada pelbagai segi selain penambahbaikan yang telah berjalan atau dalam perbincangan.

Saya memecahkan kepada isu-isu yang kompleks atau tertangguh lama sehingga kepada isu-isu ringan yang boleh diselesaikan.

Antara yang berjaya dirungkaikan ialah projek apartmen Kristal di Selayang Mutiara di mana projek ini telah terbengkalai sejak dari tahun 2001 lagi.

Saya wujudkan task force dan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Bayangkan sehingga sekarang masih ada lagi yang terpaksa membayar harga rumah, malah ada juga yang pemilik dah meninggal dunia, justeru saya ambil langkah untuk tangani masalah ini dengan segera.

Daripada hasil perbincangan melalui KPKT juga kepada agensi pelaksana, projek ini dapat disambung semula. Ia memberi harapan kepada 500 penduduk atau pemilik yang menunggu lama untuk mendapatkan rumah mereka.

Selain itu juga, isu pembinaan masjid yang memakan masa untuk disiapkan, saya cuba bincang bersama pihak bertanggungjawab untuk mencari solusi dan alhamdulillah dalam beberapa tahun akan datang isu tersebut dapat diselesaikan.

Saya juga bersama pasukan serta agensi kerajaan bertungkus lumus dalam mengekalkan kehijauan serta khazanah perhutanan negara atau alam agar ia lestari.

 Apakah antara cabaran-cabaran yang ditempuhi YB?

Pastinya ada sahaja cabaran yang mendatang namun sudah tentu saya serta pasukan mampu tempuhi bagi memberi perkhidmatan yang terbaik di sini.

Antaranya ialah cabaran daripada segi isu kawasan sempadan kerana ada perbezaan di bawah penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebagai contoh, isu lambakan pekerja di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, ada sedikit kekeliruan penguatkuasaan namun kita bergerak bersama bagi membanteras segala permasalahan.

Isu komunikasi juga memang mencabar antaranya bagaimana hendak mencapai setiap penduduk di kawasan ini. Justeru itu, media sosial saya memainkan peranan penting untuk menyebar segala maklumat penting kepada penduduk selain daripada pasukan saya yang bergerak bersama ketua kampung serta persatuan-persatuan penduduk.

Dengan dana yang diperoleh bagaimana YB agihkan untuk kebaikan penduduk?

Dana yang diperoleh kita sumbangkan atau beri semula kepada rakyat untuk pembangunan masyarakat serta komuniti melangsungkan kehidupan mereka.

Kita juga memberi bantuan atau sumbangan kepada pihak sekolah, rumah agama, persatuan penduduk dan sebagainya.

Selain itu, bantuan kepada sekolah daripada segi infrastruktur bersama agensi untuk membaik pulih sekolah-sekolah yang uzur.

Jadi saya nampak agihan itu diberi sama rata dalam membangunkan penduduk dan modal insan yang hebat di masa hadapan.

Apakah perkara yang menjadi fokus YB sepanjang berkhidmat?

Sejak diberi mandat atau tanggungjawab ini, saya meletakkan fokus saya terhadap pembangunan untuk golongan anak muda dan juga wanita.

Kita bantu suri rumah untuk berdaftar daripada segi perlindungan sosial berdasarkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Untuk segmen anak muda, kita bantu daripada segi pelajaran terutamanya yang datang daripada keluarga yang daif atau berpendapatan rendah.

Sebagai contoh salah sebuah institusi pendidikan swasta di sini ada menyediakan pelajaran kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan baik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mereka mengambil semula peperiksaan tersebut di mana kos pembelajaran ditanggung.

Selain itu, kita mudahkan proses pemberian zakat kepada anak-anak muda untuk menyambung pengajian. Saya lihat kedua-dua segmen ini penting untuk memberi penekanan dalam membantu kesejahteraan hidup mereka.

Bagaimana YB cuba banteras atau meminimakan jumlah miskin tegar?

Kebetulan portfolio saya sebagai Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat memang pelbagai segi bantuan diberikan kepada golongan-golongan berpendapatan rendah.

Antaranya seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) untuk kita bantu menoktahkan golongan-golongan miskin tegar ini.

Keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000 bagi keseluruhan isi rumah akan diberi sebanyak RM300 sebulan dalam tempoh dua tahun untuk membantu meringankan beban kos sara hidup.

Daripada situ kita harap semua penduduk di sini dan semua rakyat Selangor berpendapatan rendah untuk dapat keluar daripada kepompong kemiskinan serta mengubah nasib kehidupan mereka.

Apakah harapan YB terhadap penduduk?

Sebenarnya besar harapan saya bukan sahaja kepada penduduk malah buat diri saya juga. Jika boleh saya mahu selesaikan lebih banyak isu-isu yang berkaitan dengan infra kerana ia adalah antara perkara asas kepada penduduk.

Ia juga termasuk pelebaran anak sungai bagi mengelakkan daripada berlakunya banjir kilat di sesetengah kawasan.

Selain itu, saya juga mahu membangunkan penjaja-penjaja kecil bagi memberikan model perniagaan yang lebih lestari kepada mereka.

Sebagai contoh, kita tidak mahu penjaja-penjaja ini berniaga di bahu jalan yang kadangkala membahayakan mereka termasuk orang ramai. Mungkin kita boleh mengadakan tempat berniaga khusus untuk mereka.

Selain itu, kita juga boleh ajar model perniagaan secara dalam talian untuk mereka bergerak dari rumah sahaja.

Kemudian, saya juga mahu bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membantu golongan berpendapatan rendah terhadap pendapatan mereka serta pendidikan yang mampu mengubah nasib mereka kelak.

Daripada sudut jangka panjang pula, di kawasan Templer sebenarnya ada potensi untuk dijadikan sebagai tempat pelancongan. Banyak kawasan hijau yang dijaga di sini, ia juga tidak jauh dengan bandar yang memudahkan akses kepada penduduk bandar dengan kawasan hijau.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas