Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE
MALAYSIA dilihat berani berhadapan dengan apa jua tindakan meskipun terpaksa membayar dengan harga yang mahal dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Negara Palestin.
Menurut Fellow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, gesaan segelintir ahli parlimen dari Eropah yang menjadi tali barut kepada rejim Israel sememangnya tidak mengejutkan kerana itu merupakan reaksi yang perlu dipertontonkan kepada masyarakat antarabangsa.

“Ancaman yang diutarakan oleh blok Eropah ini hanyalah bersifat kosmetik kerana mereka perlu mempamerkan bahawa mereka melakukan sesuatu terhadap negara yang menentang mereka dan dalam situasi kini, sememangnya tindakan ini telah dijangkakan,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.
Beliau yang juga Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengakui bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempamerkan kelantangan, ketegasan dan terkehadapan berbanding negara Arab dalam membela nasib rakyat Palestin yang kini berhadapan dengan ujian getir.
“Jika dilihat dari aspek Malaysia sebagai sebuah negara Islam berbanding negara Arab, kita memang tegas dan kehadapan dalam isu ini dan itulah langkah yang sewajarnya diambil untuk mengembalikan keamanan terhadap rakyat Palestin.
“Disebabkan ketegasan itu, reaksi Eropah juga tidak solid kerana ada juga negara yang mengendurkan sokongan kepada negara Israel selepas ada dalam kalangan rakyatnya yang turut bersimpati dengan Palestin,” katanya.
Azmi berkata meskipun ada ancaman yang diberikan kepada Perdana Menteri dan Malaysia, ia tidak mendatangkan kesan berikutan Kesatuan Eropah (EU) juga berbelah bahagi dalam isu berkenaan.
“Saya berpandangan bahawa ini (tindakan) tidak akan berlaku kerana isunya adalah EU berbelah bahagi dan untuk mengenakan terhadap Malaysia hanya sebab kita membela nasib negara Palestin itu, saya pasti ia tidak mendapat sokongan kebanyakan masyarakat Eropah atau blok EU itu sendiri,” ujarnya.
Jelas Azmi beliau melihat terdapat kesan positif terhadap imej Perdana Menteri dan Malaysia berikutan tindakan beberapa buah negara Eropah melalui ahli parlimen mereka yang mengusulkan tindakan terhadap negara ini.
“Saya melihat kesannya positif kerana Malaysia adalah sebuah negara kecil dan blok Eropah mengambil perhatian yang serius terhadap Malaysia ekoran sikap yang ditunjukkan untuk mempertahankan Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata tidak timbul isu pembangkang Malaysia tidak bersama kerajaan dalam mempertahankan Palestin, sebaliknya pertikaian yang berlaku di Parlimen disebabkan mereka tidak boleh membuat sesuatu yang lebih daripada apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri.
“Saya melihat apabila Perdana Menteri berkomunikasi secara langsung dengan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh maka itu adalah kemuncaknya.
“Disini seolah-olahnya bukanlah mereka tidak bersama dengan kita, sebaliknya mereka tidak boleh bertindak lebih berbanding Perdana Menteri, misalnya untuk menjadi lebih garang, mereka tidak boleh menjadi lebih garang dan berani berbanding Perdana Menteri sendiri dan melebihi daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata negara Palestin hanya mahu hak kebebasan negara mereka.

Menurutnya, dalam episod peperangan kali ini, negara Palestin seolah-olah dipinggirkan malah organisasi antarabangsa seperti diikat tangan untuk tidak mengambil tindakan.
“Palestin hanya meminta unutk dibebaskan daripada terus dijajah, mereka hanya mempertahankan hak mereka yang telah dicabul oleh negara Israel.
“Hampir setiap hari di setiap sudut negara Palestin dibedil, termasuk tindakan tidak berperikemanusiaan daripada rejim Zionis yang mengebom hospital baru-baru ini.
“Hak mereka seperti dipinggirkan, ia ibarat perang berat sebelah apabila Israel turut disokong kuasa-kuasa besar yang lain, malah organisasi antarabangsa tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan kekejaman yang berlaku ketika ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Tambah Awang Suffian, dia berharap keadilan dapat ditegakkan dan peperangan tidak berperikemanusiaan itu dapat dihentikan supaya orang awam tidak lagi menjadi mangsa korban sekali gus dapat hidup dengan harmoni.
Dia turut menyeru semua orang bersolidariti dan memberikan sokongan yang jitu kepada rakyat Palestin untuk terus bangkit melawan penjajah.
“Peperangan yang sedang berlaku ini amat berat sebelah, boleh bayangkan bagaimana penceroboh yang menuntut bukan hak mereka dianggap ia adalah satu keadilan? Ini satu perkara yang tidak bertanggungjawab.
“Marilah kita semua menolong semampu yang boleh, bersolidariti bersama, berdoa agar rakyat Palestin akan terus berjuang untuk melawan penjajah,” ujarnya.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menegaskan bahawa sistem keselamatan dan pertahanan negara telah pun bersedia dari pelbagai segi sekiranya Malaysia terus diheret dalam kancah peperangan yang melibatkan Israel.
Jelas beliau, peperangan secara fizikal mungkin agak sukar berlaku dalam situasi dunia yang sudah moden pada hari ini, namun dalam masa sama ancaman perang subversif ideologi dan perang siber tidak boleh dipandang ringan berikutan konflik yang berlaku.
“Boleh dikatakan rakyat dan kerajaan hari ini senada dalam memberikan pembelaan terhadap rakyat Palestin. Namun ancaman keselamatan ini sesuatu yang boleh dijangkakan tetapi, ia bukanlah sesuatu yang boleh menjejaskan semangat dan kesepaduan rakyat Malaysia dan kepimpinan kerajaan. – WILAYAHKU