TOKOH usahawan terkemuka Malaysia, Ananda Krishnan Tatparanandam meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Pemergian taikun yang juga pengasas syarikat pengendali mudah alih kedua terbesar di Malaysia, Maxis Berhad serta syarikat penyiaran dan media Astro Malaysia Holdings itu dibuat menerusi kenyataan media oleh syarikat pegangan pelaburan Usaha Tegas Sdn Bhd
“Dengan rasa dukacita, kami ingin mengumumkan berita pemergian Pengerusi kami (Usaha Tegas Sdn Bhd ), Ananda Krishnan Tatparanandam.
“Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 28 November 2024.”
Menurut kenyataan itu lagi, sumbangan mendiang dalam pembangunan negara dan dunia korporat sepanjang hayat amat besar.
“Sifat filantropinya juga memberi kesan serta kenangan kepada semua dan menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang disegani dan dihormati,” tulis kenyataan itu lagi yang turut meminta agar orang ramai menghormati privasi keluarga mendiang dalam tempoh berkabung ini.
Selain syarikat telekomunikasi dan stesen televisyen, beliau juga memiliki pegangan besar dalam syarikat penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd, melalui Objektif Bersatu Sdn Bhd.
Pada April lalu, majalah Forbes menyenaraikan Ananda Krishnan sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$5.1 bilion (RM22.66 bilion), selepas hartawan hotel dan hartanah Robert Kuok serta Quek Leng Chan dari Hong Leong. – WILAYAHKU