JIKA dibesarkan pada era sekitar 90-an dan sebelumnya, pasti anda menghabiskan masa menonton cerita kartun melalui televisyen berbanding kanak-kanak zaman sekarang yang berpeluang menonton di telefon pintar
sahaja.
Kecanggihan teknologi hari ini telah merubah corak kehidupan mereka di mana sedari usia di bawah satu tahun lagi, kebanyakannya telah didedahkan dengan gajet oleh ibu bapa. Malah, di usia yang masih kecil, mereka sudah mula pandai mengakses cerita kartun di telefon pintar.
Situasi ini semakin membimbangkan kerana tontonan tanpa pemantauan mampu mempengaruhi perkembangan emosi serta mental mereka lebih-lebih lagi cerita yang mengandungi unsur seksual, keganasan dan berbentuk agresif yang banyak berselindung di sebalik watak kartun comel yang menjadi kegemaran anak-anak.
Salah seorang ibu, Normah Ismail, 45, berkata ibu bapa seharusnya bertanggungjawab terhadap tontonan anak-anak kerana ia akan mempengaruhi diri kanak-kanak tersebut ketika dewasa kelak.
“Apa yang menjadi kebimbangan adalah sikap ambil mudah ibu bapa lain yang tidak memantau apa yang ditonton oleh anak-anak mereka. Sikap sambil lewa ini menyebabkan anak saya turut menonton kartun berunsur negatif yang dikongsi oleh rakan di sekolah.
“Diharapkan ibu bapa pantau apa yang anak-anak tonton. Selalunya saya akan periksa ruang history di telefon, sekiranya terdapat kartun yang pelik, saya akan minta mereka untuk berhenti tengok,” ujarnya yang mempunyai dua orang anak berusia 10 dan lapan tahun.
Normah berkata meskipun kini wujudnya aplikasi yang mesra kanak-kanak namun ibu bapa masih perlu memantau kerana sebelum ini tular di laman sosial terdapatnya video-video yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak di dalam aplikasi tersebut.
Berkongsi pendapat yang sama, Muhammad Ezad Ehsan, 56, berkata anaknya pernah menonton animasi siren head yang mempunyai unsur seram dan keganasan.
“Saya terpaksa menghalangnya untuk menggunakan telefon bimbit lebih-lebih lagi had umur tontonan bagi kartun tersebut adalah 18 tahun dan ke atas.
“Di usia yang masih muda, kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dengan imej pembunuhan dan keganasan kerana akan memberi impak yang tidak baik untuk mereka.
“Ketika inilah mereka perlu diperkenalkan dengan perkara-perkara yang baik kerana kita tidak mahu melahirkan generasi yang berpegang pada unsur keganasan dan kejahatan.
“Tambahan pula kanak-kanak sekecil ini tidak dapat menilai mana yang baik dan buruk jadi ibu bapa perlu memainkan peranan penting. Luangkan masa untuk menonton bersama-sama anak sekali gus dapat mengeratkan hubungan,” ujarnya. – WILAYAHKU