LIMA individu termasuk anak kepada pemimpin tertinggi GISBH direman tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata perintah reman terhadap individu terbabit, berusia 30 hingga 41 tahun, dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam susulan permohonan dibuat oleh polis.
Mengesahkan perkara itu kepada Wilayahku, beliau memberitahu, mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan polis terhadap organisasi berkenaan.
“Reman bermula hari ini sehingga 25 September,” katanya.
Terdahulu, anak kepada pemimpin GISBH antara lima individu ditahan di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah petang semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, ATIPSOM 2022. – Metra Syahril/WILAYAHKU