KECOH dalam media sosial hari ini apabila anak kepada pasangan selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim, 19, didakwa sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya yang dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.
Kisah pasangan ini tular apabila Marissa didakwa sebagai orang ketiga dalam hubungan rumah tangga Aslam dan isterinya, Misya Mazlan sehingga pasangan tersebut bercerai.
Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh edah.
Menurut laporan media, terdapat sumber memberitahu Marissa dan Aslam berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga Marissa.
“Mereka berkahwin ketika Misya pergi menunaikan umrah. Kiranya, Misya sudah dimadukan tanpa pengetahuan,” katanya.
Terdahulu, pada September tahun lalu kecoh di media sosial apabila Misya yang juga ibu kepada dua orang cahaya mata tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan anak perempuan kepada Abby dan bekas suaminya, Norman Hakim.
Misya menerusi satu hantaran di media sosial mendedahkan Marissa yang juga pempengaruh itu didakwa menjadi penyebab utama dia diceraikan suami.