ANAK muda dan pekebun kecil digesa untuk berani mencuba teknologi baru dalam penggunaan baja di dalam sektor pertanian.
Menurut MQH Resources Sdn Bhd (MQH) atau dikenali sekarang FastGrow Fertilizer percaya teknologi nano masa ini sangat bagus kerana melibatkan penjimatan kos dan tenaga.
Pengarah pemasarannya, Hamzah Hamid menjelaskan produk baja FastGrow Fertilizer yang diusahakan oleh empat usahawan Bumiputera daripada kalangan anak muda ini telah berjaya menarik negara luar untuk menggunakan baju yang dihasilkannya.
Katanya, antara negara luar yang mengimport produk baja cecairnya itu adalah seperti Thailand, Brunei dan Indonesia.
“Kalau negara luar hargai teknologi kita cipta kenapa pekebun Malaysia tidak lihat perkara ini secara mendalam.
“Apa saya harapkan pekebun membuka minda pelajari teknologi-teknologi baru. Kita dah advance teknologi pertanian seperti penanaman padi yang sudah menggunakan dron. Tetapi dalam pembajaan kita masih guna teknologi lama sedangkan ada teknologi baru boleh ubah sistem pembajaan,” katanya kepada Wilayahku.
Hamzah berkata demikian ketika ditemui di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Pameran MAHA selama 22 hari yang bermula pada 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). – WILAYAHKU