PUSAT beli-belah Alamanda, Putrajaya menyantuni 41 anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (YAYAKEM) dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun itu berpeluang hadir ke Alamanda untuk menikmati pengalaman beli-belah persiapan raya.
Malah katanya mereka memilih sendiri pakaian dan kasut raya baharu yang ditaja rakan niaga seperti Bata.
“Sebagai pusat beli-belah utama di Putrajaya, Alamanda memainkan peranan penting memupuk semangat prihatin dan kebersamaan dalam komuniti.
“Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat menyuntik sinar keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, terutamanya kanak-kanak yang tidak berpeluang menikmati suasana Ramadan dan Syawal seperti rakan sebaya mereka,” katanya.
Francis berkata anak-anak YAYAKEM turut menerima sumbangan duit raya daripada Alamanda dan TUCZ serta diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama tetamu kehormat dan pengurusan Alamanda.
Tambahnya selain program CSR, Alamanda turut menghidupkan kempen Hari Raya 2025 dengan hiasan bertemakan Maghribi yang menampilkan rona biru diraja dan emas di Centre Court. – WILAYAHKU