Berita

Ambil kira laporan Bank Dunia teliti fungsi GLC, GLIC

Foto: BERNAMA
- Diterbit 22 Oktober 2024 2:14 PM MYT

KERAJAAN Madani mengambil kira laporan Bank Dunia dalam urus tadbir Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta agensi milik kerajaan supaya memenuhi semula peranan penubuhannya serta penggabungan agensi yang mempunyai fungsi yang sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berikutan itu, pihaknya telah mengambil langkah untuk meneliti semua peranan GLC dan GLIC termasuk milik negeri-negeri serta cadangan agar Ketua Audit Negara campur tangan dalam memastikan prinsip tatakelola diamalkan.

“Dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, saya telah menegaskan perlu Ketua Audit campur tangan kerana kadangkadang kita tidak dapat pantau sehingga peringkat bawah.

“Kecelaruan banyak juga berlaku dalam kalangan agensi yang terus catat kerugian tahun demi tahun dan oleh itu, kita harus pertanggungjawabkan mereka,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di parlimen semasa waktu pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di parlimen hari ini.

Katanya, beliau menerima kenyataan bahawa GLC dan GLIC tidak boleh disamakan dengan sektor swasta berikutan terikat dengan prinsip dan fasafah penubuhannya, namun aspek prestasi harus dinilai dan syarikat-syarikat yang tidak mencatat keuntungan atau pengurusan yang lemah tidak harus mengambil anggapan bahawa mereka akan terus diberi bonus.

“Sebagai contoh, GLC dan GLIC ini mempunyai tanggungjawab, umpamanya pelaburan dalam negara. Keduanya tidak semua, tapi sebahagian besar (membabitkan) PMKS. Ketiganya (membabitkan) Bumiputera. Itu tidak dikenakan kepada syarikat swasta.

“Kerana selama ini saya lihat kadang-kadang enam bulan, lapan bulan bonus dianggap sebagai satu perkara biasa dan kita hentikan sejak tahun lalu,” katanya.

Tegas beliau, mereka harus juga mengambil kira bahawa mereka dipilih untuk memenuhi satu tanggungjawab sebahagian besar mereka menjalankan.

“Sebab itu, saya dalam ucapan belanjawan saya sebut Ramly Burger. Itu dah jadi jaringan yang besar, tapi dari awal telah dibantu oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kemudian Aerodyne yang sekarang kalau ikut Google, Google itu ambil drone dari Aerodyne. Hampir semua keperluan drone oleh Google itu diambil dari syarikat Aerodyne yang berpangkalan di Malaysia yang juga telah di bantu daripada awal oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP),” katanya.

Ujar Perdana Menteri, gesaan supaya kerajaan terus melaksanakan pemantauan bersetuju supaya Ketua Audit Negara, mengaudit semua 2000 syarikat ini mempunyai asas yang kukuh.

“Saya ingat akan satu jadi kejutan supaya semuanya akan lebih bertanggungjawab kerana kadang-kadang pelanggaran itu masih berterusan di beberapa peringkat dan tidak ada jalan lain, tetapi untuk kita jalankan audit dan memantau terus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas