PENYANYI Tom yang popular menerusi rancangan Gegar Vaganza terkilan dengan pihak tertentu yang menyalahgunakan artis untuk melariskan produk atau membuat kutipan amal.
Bagi pelantun lagu Redha ini, tindakan itu sebenarnya bukan sahaja menganiaya golongan selebriti sebaliknya turut menzalimi pengguna.
“Hal ini semakin menjadi-jadi. Janganlah ambil kesempatan terhadap artis semata-mata mahu mengaut keuntungan.
“Itu adalah salah dan memang tak boleh sewenang-wenangnya menggunakan wajah mana-mana artis untuk mempromosi produk sedangkan mereka tidak guna pun produk itu,” katanya.
Bagi Tom, sikap tidak bertanggungjawab para peniaga ini turut membahayakan masyarakat yang terpedaya dengan penipuan itu.
“Tidak rasa salah ke tipu masyarakat sedangkan artis yang dikaitkan itu sebenarnya tidak menggunakan produk berkenaan, tidak tahu isi kandungan dan sebagainya, jika timbul masalah kemudian hari, yang tanggung adalah pelanggan. Entah apa kesannya nanti. Memang bahaya.
“Begitu juga mereka atau scammer yang menggunakan artis tanpa kebenaran untuk kutipan amal. Dalam masa yang sama, nama artis pun terjejas. Padahal artis itu tidak tahu langsung berkenaan produk atau kutipan yang dibuat,” ujarnya.
Tegasnya lagi, menggunakan wajah seseorang tanpa izin adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan di luar kewarasan fikiran namun tidak mustahil terjadi jika keuntungan menjadi agenda utama. – WILAYAHKU