PELAKON Putra Amaris telah menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan harian kepada tiga anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, dalam Program Kongsi Rezeki: #samasamakenyang dan Majlis Tahfiz Berselawat yang berlangsung pada 22 Mac baru-baru ini di Saloma Kuala Lumpur.
Nur Iman Zahra, 15, Nur Iman Damia, 13 serta Muhammad Daniel Iman, 10 adalah anak kepada bekas wartawan Melayu (M) Bhd, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia akibat sakit kronik.

Basir menyusul selepas hampir dua tahun isterinya, Noor Azlina Jaafar, yang juga merupakan jurugambar Utusan pada 17 Oktober 2023 meninggal dunia kerana demam panas akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Alhamdulillah, saya dan team Program Kongsi Rezeki bersyukur program yang dijalankan berjalan lancar dan mendapat kerjasama ramai pihak.
“Apa yang istimewa, saya seronok dalam masa yang sama sebak apabila dapat bertemu dengan ketiga-tiga anak Allahyarham Basir dan Azlina.
“Saya harap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak boleh menggembirakan hati mereka. Pada hari tersebut, terdapat juga usahawan dan penaja lain yang turut memberikan sumbangan kepada mereka.
“Saya tahu, bukan mudah hidup tanpa ibu bapa dalam masa usia yang masih muda. Insya Allah, mereka kuat hadapi dugaan yang telah ditentukan Allah,” katanya.
Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 39, juga akui jasa Basir dan Azlina terhadap artis serta masyarakat hanya Allah yang mampu membalasnya.
“Kak Ina (panggilan buat Azlina) antara jurugambar yang banyak bekerjasama dengan saya sejak mula-mula jadi artis dulu.
“Dia seorang yang komited, kreatif dan sikapnya yang menyenangkan membuatkan artis-artis selesa setiap kali sesi fotografi.
“Antara nasihat arwah yang saya masih ingat hingga ke hari ini adalah sentiasa menghormati orang lain, selalu merendah diri dan jaga keluarga,” katanya.
Sebelum ini, Amaris meluahkan rasa syukur apabila Program Kongsi Rezeki: #samasamakenyang dan Majlis Tahfiz Berselawat anjurannya pada 22 Mac baru-baru ini mencatat kejayaan luar biasa.
Apa yang menarik, program ini berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM33,687 dalam sehari.
Program yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kongsi Rezeki bagi membantu golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, warga emas, serta gelandangan.
Penganjur juga memberi jaminan bahawa 100 peratus daripada dana yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima manfaat tanpa sebarang pemotongan.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program amal, tetapi platform untuk menyemai nilai kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat.
“Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga membawa keberkatan kepada para penyumbang,” tambah Amaris lagi.
Dengan kejayaan ini, Kongsi Rezeki terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat mampu memberikan impak besar dalam membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya di bulan Ramadan.
Bagi yang ingin berinfaq kepada anak-anak generasi AlQuran ini boleh terus berinfaq ke CIMB : 8602008531 (Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah) dan kepada kepada pesakit kanser kanak-kanak boleh terus ke CIMB : 8605749460 (Pertubuhan Kebajikan Adina) . – WILAYAHKU