PELAKON dan usahawan Putra Amaris mengaku sudah lama mengimpikan mahu membantu ramai orang yang memerlukan.
Impiannya itu tercapai apabila menceburkan diri dalam bisnes makanan Amaris My Tat dan Amaris Satay Goreng.
Menurut Amaris atau nama sebenarnya Muhammad Amran Ismail,36, dia mahu terus berkongsi rezeki dalam bisnes dengan masyarakat. Dalam masa yang sama mengumpul pahala akhirat.
“Sudah lama saya mengimpikan mahu membantu artis-artis veteran, cuma dulu saya tak mampu dan hanya berharap kepada gaji sebagai pelakon. Iyalah, dapat saja bayaran, saya bayar komitmen dan hutang.
“Wang yang selebihnya adalah untuk kegunaan sendiri dalam menjalani kehidupan seharian. Agak sukar ketika itu untuk saya melakukan infak memandangkan saya tak mampu ketika itu.
“Saya selalu berkata kepada diri sendiri, saya kena jadi kaya untuk bantu orang lain. Kalau diri sendiri hanya berada di takuk lama, sampai bila pun impian saya mahu membantu orang ramai agak sukar dicapai,” katanya ketika ditemui dalam program menyantuni artis-artis veteran baru-baru ini.

Bagi Amaris, tidak perlu berfikir panjang atau menunggu lama untuk menghulurkan bantuan.
“Dengan izin Allah, sejak memulakan bisnes beberapa tahun lalu, rezeki saya semakin murah. Jadi saya rezeki lebih yang diperolehi ini saya kongsikan bersama golongan artis veteran.
“Saya tak mahu rasa kecewa jika tidak sempat membantu mereka yang banyak berjasa kepada industri seni. Biarlah saya hargai mereka dengan cara tersendiri.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak menceriakan kehidupan mereka.
“Saya juga bersetuju kerana disokong oleh banyak pihak yang sudi bekerjasama bagi memudahkan lagi misi ini,” katanya yang bercita-cita mahu membina sebuah rumah atau tempat perlindungan untuk artis-artis veteran yang memerlukan.

Bagi Amaris, walaupun kos pembinaan rumah tersebut bukanlah sedikit dan memerlukan perancangan rapi tetapi itu bukanlah halangan untuk mencapainya.
“Terdapat artis-artis veteran yang hidup dalam serba kekurangan di tempat tinggal yang tak sepatutnya mereka berada di situ.
“Saya tak mahu bongkar siapa artis-artis tersebut. Apa yang boleh saya kongsikan, situasi mereka membuatkan saya cukup tersentuh dan mula memasang niat mahu membina sebuah rumah khas yang selesa buat mereka.
“Saya tahu, mungkin ada yang menganggap impian ini agak sukar diusahakan, namun ia tak mustahil.
“Saya tak boleh melakukannya seorang diri, tapi ia akan menjadi kenyataan jika banyak pihak bergabung untuk melaksanakannya,” jelasnya lagi yang menganjurkan program menyantuni 100 artis veteran yang memerlukan bantuan.

Sebagai permulaan, baru-baru ini Amaris bersama pasukannya menyantuni artis-artis veteran seperti Normala Omar, Zack Taipan, Anita Jaafar, S Rohani, Harun Hashim dan Abass Bakar.
Mereka menerima sumbangan makanan, set sanitizer dan wang tunai.
Menerusi program amal ini, Amaris turut bekerjasama dengan Amaris Satay Goreng, Envirolyte Anolyte, Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo), Seniman dan team Sama-Sama Kenyang. – WILAYAHKU