PENIAGA bazar Ramadan Putrajaya diingatkan supaya menyedia dan menjual makanan selepas pukul 3 petang jika tidak mahu berdepan tindakan penguatkuasaan.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, langkah tersebut bertujuan untuk menjaga kualiti jualan bagi mengelak daripada cepat rosak sehingga menyebabkan keracunan makanan.

“PPj mempunyai pasukan pemantau yang cukup kuat dan akan mengadakan pemantauan pada setiap hari di semua gerai jualan bagi memastikan makanan selamat untuk dimakan.
“Peniaga juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan, tidak menjual makanan dengan harga yang tinggi dan mengamalkan kempen tiada beg plastik.
“PPj sudah selesai membuat pemilihan peniaga membabitkan kira-kira 800 lot di empat tapak bazar Ramadan tahun ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Sukan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di Presint 18.
Tahun ini, Fadlun berkata pihaknya menyediakan sebanyak 260 lot jualan makanan, manakala 300 lot di Anjung Syawal menjual barangan kelengkapan Aidilfitri termasuk satu bazar Ramadan baharu di Taman Warisan Presint 16.
“Empat tapak bazar Ramadan disediakan di Putrajaya tahun ini bagi memberi keselesaan dan memudahkan warga setempat.
“Sebelum ini, tapak sedia ada terletak di Presint 3, 11 dan 14 manakala untuk tahun ini terdapat tambahan iaitu di Taman Warisan Pertanian, Presint 16.
“Tahun ini hampir 800 lot disediakan termasuk 260 bagi jualan makanan dan 300 di Anjung Syawal. Kami sudah selesai memberikan lesen kepada peniaga secara pemilihan langsung,” katanya.
Mengulas aspek pemantauan, beliau berkata, pada tahun ini PPj akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan tiada kehadiran individu yang mengemis.
“Dalam masa sama, PPj turut memberi amaran kepada pengemis supaya tidak melakukan aktiviti di bazar Ramadan dan akan diambil tindakan jika dikesan berbuat demikian,” katanya. – WILAYAHKU