MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menarik perhatian sesi sidang Dewan Rakyat apabila mengeluarkan amaran ‘tiga wanita besi’ yang kini bertugas menangani isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara.
Selain beliau, dua lagi ‘wanita besi’ tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Amaran itu sebagai menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai isu-isu persundalan dan kebanjiran penjaja warga asing di Kuala Lumpur yang masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force diaktifkan.
“Tiga wanita besi iaitu saya, Datuk Bandar (Maimunah) dan Ketua Pengarah (Noridah) menjaga KL (Kuala Lumpur) ini.
“Insya-Allah kita akan lihat Kuala Lumpur ini bersih dari segala perkara-perkara yang menjadi concern kepada kita (warga) dan insya-Allah saya juga nak ingatkan, jangan macam-macam (amaran) di Kuala Lumpur ini,” katanya ketika sesi jawab lisan hari ini bersekali dengan soalan dikemukakan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu).
Beliau berkata, KL Strike Force merupakan satu unit khas bersepadu yang ditubuhkan secara pentadbiran melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan pada 27 Mei lalu.
Katanya, objektif KL Strike Force adalah untuk menangani isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam secara pantas, berkesan dan berterusan di ibu negara.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan tiada pengurangan ke atas kes persundalan di Kuala Lumpur kerana data 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan sahaja berbanding suku ketiga tahun ini.
“Sejak penubuhan KL Strike Force, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan telah menyerbu 209 buah premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan,” katanya.
Beliau menambah, statistik serbuan bermula dari tarikh 27 Mei sehingga 30 September lalu menunjukkan seramai 781 orang telah ditangkap terdiri daripada 149 orang warga tempatan dan diikuti 632 orang warganegara asing berusia di dalam lingkungan usia 18 hingga 61 tahun.
Katanya, tindakan pembanterasan giat dijalankan bagi menyekat aktiviti persundalan terutama di kawasan yang dikenal pasti berpotensi dalam menawarkan aktiviti itu.
“Tiada tindakan pilih kasih, sama ada penawaran persundalan golongan elit mahupun golongan bawahan, akan diambil tindakan yang sama,” tegasnya.
Katanya, hotspot terbaharu persundalan yang dikenal pasti oleh KL Strike Force adalah kedai makan dan medan selera di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew.
Jelas beliau, modus operandi sindiket bertambah kreatif dengan menjadikan premis-premis terbabit sebagai lokasi mengiklankan perkhidmatan persundalan mereka.
Selain itu katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengetuai operasi bersepadu melalui inisiatif Smart Partnership antara agensi-agensi kerajaan ke atas premis perniagaan warga asing. – WILAYAHKU