PELAKON Amar Baharin dan pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin akan berkayuh sejauh 8,000 km yang dijangka mengambil masa selama tiga bulan untuk Misi Berbasikal Kembara Mekah.
Kayuhan atas biayaan sendiri itu akan dimulakan tahun depan sebaik Amar selesai menjalani penggambaran drama 60 episod.
“Idea ini tercetus selepas saya kembali bertemu sahabat lama Datuk Muqharabbin yang juga aktif berbasikal. Muqharabbin banyak pengalaman menjelajah secara berbasikal ke Amerika Syarikat dan juga pernah berkayuh ke tujuh benua.
“Dari pertemuan setiap minggu berbasikal bersama-sama, terbit idea untuk menjadikan aktiviti riadah ini sebagai satu ibadah. Akhirnya lahirlah idea berkayuh ke Mekah.
“Tapi sebelum memulakan misi itu, banyak faktor yang perlu diambil kira, antaranya kami perlu mengkaji jalan atau negara yang boleh dan tak boleh kami lalui. Selain itu, kami juga perlu membuat kira-kira kos sepanjang penggembaraan itu,” kata Amar.
Berkenaan persiapan dari sudut ketahanan, Amar berkata ia tidak menjadi masalah kerana mereka sudah biasa berkayu antara 300 kilometer hingga 500 kilometer seminggu.
“Kami sudah biasa berkayuh sehingga 500 kilometer seminggu, hari-hari kami berkayuh. Jadi rasanya cukuplah jarak itu buat perjalanan kami kelak.
“Kos untuk perjalanan ini juga adalah atas tanggungan sendiri. Kami tidak tidak terbuka atau meminta-minta sumbangan tetapi kalau ia berbentuk hibah atau hadiah barulah kami terima,” katanya. – WILAYAHKU